Longgar SOP: 'Jangan ingat sudah vaksinasi, kita sudah kebal' - Pakar Kesihatan
Hasimi Muhamad
Ogos 6, 2021 15:22 MYT
Ogos 6, 2021 15:22 MYT
KUALA LUMPUR: Keputusan untuk memberikan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) kepada individu yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin perlu diteliti dalam pelbagai aspek, termasuk kebimbangan mengenai ancaman varian Delta.
Pakar Pengurusan Risiko Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Shamsul Bahari Shamsudin berkata, kes jangkitan di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat (AS) kembali melonjak berikutan varian tersebut.
Justeru, beliau berkata pematuhan SOP masyarakat ketika ini adalah langkah terbaik sebelum kelonggaran dilaksanakan.
"Pertama komitmen dan disiplin dalam melaksanakan SOP semasa masih perlu untuk setiap individu seperti penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka sangat penting. Masyarakat perlu menganggap ini sebagai normal baharu.
"Jangan ingat kita sudah divaksinasi, kita kebal dan boleh buat apa sahaja termasuk rentas negeri dan sebagainya. Ingat, variasi varian dan virus ini berubah-ubah, dan sudah tentu kesannya juga berbeza-beza," katanya kepada Astro AWANI, di sini hari ini.
Mengenai kebenaran rentas negeri pula, Shamsul berkata pertimbangan mungkin boleh diberikan kepada negeri-negeri yang telah beralih ke Fasa Tiga atau Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).
"(Pertimbangan juga) sekiranya setiap individu yang ingin melakukan rentas negeri ini telah lengkap suntikan kedua-dua dos, dan telah diuji antibodi sama ada vaksin antibodi dikesan atau menunjukkan kesan yang positif, atau signifikan terhadap suntikan ini.
"Ia mungkin hanya dibenarkan kepada negeri-neeri telah mencapai fasa tigas atau empat PPN, begitu juga dengan sektor ekonomi dan industri," ujarnya lagi.
Semalam, Menteri Penyelaras PPN,Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan tidak akan lagi menggunakan jumlah kes harian COVID-19 sebagai penunjuk bagi membolehkan negeri dan wilayah dalam Fasa Dua PPN, bergerak ke fasa seterusnya.
Sebaliknya, jelas Zafrul yang juga Menteri Kewangaan, kerajaan akan menggunakan kadar kemasukan ke hospital, sebagai salah satu daripada tiga nilai ambang untuk negeri-negeri dan wilayah, untuk memasuki Fasa Tiga dan Empat.
Setakat ini, jumlah kumulatif pemberian dos vaksin dalam negara adalah lebih 23.161 juta. Daripada jumlah itu, 7.998 juta individu telah melengkapkan vaksinasi mereka.
#kelonggaran sop
#lengkap dua dos vaksin
#rentas negeri
#rentas daerah
#Covid-19 Malaysia
#Pelan Pemulihan Negara
#kematian COVID-19
#berita hari ini