'Long Tiger' lolos, Ketua Polis Daerah Tangkak, dua pegawai dikenakan tindakan tatatertib
Astro Awani
Disember 29, 2021 15:42 MYT
Disember 29, 2021 15:42 MYT
JOHOR BAHRU: Berikutan kesalahan kecuaian penyeliaan dalam penugasan sehingga menyebabkan ‘Long Tiger’ lolos dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, pada 15 Disember lalu, Ketua Polis Daerah Tangkak bersama dua lagi pegawai berdepan tindakan tatatertib.
Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, kertas siasatan yang dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu turut membabitkan dua pegawai iaitu Ketua Balai Polis dan seorang Inspektor.
Beliau berkata, sebaik disiapkan, kerta siasatan itu akan dihantar ke Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Bukit Aman, untuk penilaian dan tindakan susulan.
"Di Johor, kita beri tumpuan khusus kepada aspek kebertanggungjawaban dan penyeliaan yang sepatutnya menyelia serta memeriksa lokap sama ada lokap di mahkamah atau lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) atau balai.
"Turut berdepan tindakan, seorang anggota polis berpangkat Koperal berusia 30 tahun dan seorang pegawai berpangkat Senior Asisten Komisioner yang terbabit dalam kecuaian menyebabkan kebocoran maklumat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 203 Kanun Keseksaan kerana mendedah maklumat sulit yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara satu tahun atau denda RM1 juta," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.
Sementara itu, Ayob Khan turut memaklumkan, seorang bekas anggota polis berumur 47 tahun disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyebarkan maklumat dan gambar berkaitan operasi penangkapan ‘Long Tiger’ pada Selasa.
Kata Ayob Khan, penularan gambar ‘Long Tiger’ itu didapati mampu mengganggu siasatan dan operasi yang sedang dijalankan.
Jelasnya, jika disabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM50,000 dan penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.
“Suka saya nak nasihatkan, saya telah ambil tindakan terhadap sama ada pegawai polis, orang awam, anggota (polis) yang memviralkan maklumat sulit atau gambar operasi yang diperolehi dalam Facebook.
“Setakat ini seorang pemilik akaun Facebook yang memviralkan gambar tangkapan di Facebooknya... kita sudah buka kertas siasatan ke atas dia di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. Kita sudah kenal pasti pemilik Facebook ini, berumur 47 tahun berasal (dari) Klang (dan) bekas anggota polis,” kata beliau lagi.