'Long Tiger' dipercayai dalam perjalanan menuju negara jiran - Ayob Khan

Astro Awani
Disember 29, 2021 14:59 MYT
Long Tiger dipercayai dalam perjalanan melarikan diri ke negara jiran sebelum diberkas di Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani, Kedah sekitar 3 petang semalam, kata Ayob Khan Mydin Pitchay. - Gambar BERNAMA
JOHOR BAHRU: Banduan yang meloloskan diri dari Mahkamah Majistret Tangkak, ‘Long Tiger’ dipercayai dalam perjalanan melarikan diri ke negara jiran sebelum diberkas di Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani, Kedah sekitar 3 petang semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, lelaki etnik Rohingya itu berjaya diberkas polis selepas 13 hari melarikan diri.
Beliau berkata, ‘Long Tiger’ atau nama sebenarnya, Abdul Hamim Ab Hamid, 33, melarikan diri ke Kedah dengan dibantu oleh dua individu lain.
"Hasil siasatan dijalankan dan soal siasat susulan antara jam 7.25 malam hingga 29 disember jam 3 pagi, pihak polis membuat dua lagi tangkapan (iaitu) dua lelaki Melayu di Batu Pahat, Johor yang dipercayai bersekongkol dengan suspek. Suspek-suspek ini berumur 36 dan 38 tahun. Salah seorang mempunyai rekod jenayah dan dadah," kata Ayob Khan dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.
Menurut Ayob, kedua-dua suspek itu dipercayai membantu suspek dengan memotong gari tangannya selain membeli kad sim telefon bimbit sebelum melarikan diri ke utara negara.
Beliau juga percaya ‘Long Tiger’ yang melarikan diri ke Kedah sedang dalam perjalanan keluar dari negara.
‘Long Tiger’ yang ditahan pada Selasa didapati menyembunyikan diri di rumah seorang pondan di Jalan Kuala Ketil.
Dalam serbuan sama, polis turut menahan seorang lelaki berusia 46 tahun yang turut berada di dalam rumah tersebut ketika tangkapan dibuat.
Katanya, ‘Long Tiger’ bersama ketiga-tiga lelaki yang membantunya itu dibawa ke Mahkamah Majistret Tangkak pagi tadi untuk mendapatkan perintah reman.
#Long Tiger #negara jiran #melarikan diri #ayob khan mydin pitchay
;