Lompat sertai PH, kamu ingat selamat? - Anwar

Astro Awani
Oktober 31, 2018 13:40 MYT
Penyertaan pemimpin UMNO terutamanya yang mempunyai rekod buruk bakal mengundang implikasi negatif terhadap blok pemerintah.
Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa supaya siasatan tetap diteruskan terhadap mana-mana Ahli Parlimen daripada UMNO yang mahu 'menyeberang' ke Pakatan Harapan.
Menurut Anwar, penyertaan pemimpin UMNO terutamanya yang mempunyai rekod buruk bakal mengundang implikasi negatif terhadap blok pemerintah.
"Ada orang umpanya yang ada rekod, memimpin kementerian-kementerian kanan dengan segala kerosakan yang berlaku kemudian rasa selamat sekiranya menyeberang ke Pakatan Harapan.
"Proses siasatan harus terus," tegas Anwar ketika bual bicara eksklusif AI yang bakal disiarkan pukul 8.30 malam pada Khamis.
Beliau turut menyifatkan khabar angin mengenai kemungkinan 40 Ahli Parlimen daripada UMNO mahu menyertai PH menimbulkan kegusaran dan kebimbangan.
Anwar membangkitkan dua persoalan berhubung senario berkenaan.
"Apakah dengan kekuatan itu ia akan berbalik kepada pengaruh lama dalam sistem kita?"
"Apakah kewajaran terlalu mendesak untuk memanggil terutama mereka yang ada rekod?"
Perkara tersebut akan dibincang dengan lebih lanjut ketika mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada Sabtu ini.
Baru-baru ini, bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan penyertaannya ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas meninggalkan parti lamanya September lepas.
BACA: Tok Pa tiada hajat pegang jawatan dalam Bersatu - Muhyiddin
BACA: Tiada agenda terima anggota Parlimen UMNO sertai bersatu - Mukhriz
Selepas penyertaan Mustapa, salah seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk A. Kadir Jasin memberi gambaran kemungkinan 40 lagi pemimpin UMNO akan keluar parti.
#ahli Parlimen #Anwar Ibrahim #Eksklusif AI #Pakatan Harapan #UMNO
;