Lombong haram bijih timah ditemui dalam hutan simpan di Hulu Perak

Abd Razak Mohd Ali
Julai 15, 2020 06:30 MYT
Kesemua peralatan melombong dirampas dan disita Jabatan Perhutanan Perak dan dibawa ke Setor Rampasan Bandariang, Gerik. - Foto Jabatan Perhutanan Perak
Jabatan Perhutanan Negeri Perak mengesan aktiviti perlombongan bijih timah secara haram di dalam Hutan Simpan Kenderong, dekat sini.
Menurut jurucakap jabatan berkenaan, aktiviti itu dikesan pada Selasa, hasil pemeriksaan Pejabat Hutan Daerah Hulu Perak, selepas menerima aduan awam mengenainya.
Katanya, hasil dari pemeriksaan tersebut, pihaknya menahan dua pelombong dan menyita enam buah motosikal serta peralatan perlombongan dan khemah.
“Bagaimanapun, dipercayai beberapa orang suspek yang lain telah melarikan diri semasa serbuan dibuat.
“Kesemua peralatan melombong tersebut telah dirampas dan disita oleh pihak jabatan seterusnya dibawa ke Setor Rampasan Bandariang, Gerik,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sehubungan itu, katanya, satu laporan telah dibuat di Balai Polis Gerik berhubung kes berkenaan.
Susulan itu, kedua-dua suspek diambil keterangan dan dibebaskan dengan bon jaminan polis.
“Kesalahan yang boleh didakwa ke atas suspek ialah di bawah Seksyen 32 dan Akta Perhutanan Negara 1984 iaitu kesalahan menjalankan apa-apa aktiviti tanpa kebenaran dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK).
“Kedua–dua suspek boleh dikenakan denda tidak melebihi dari RM50,000 atau penjara selama tidak melebihi 5 tahun atau kedua–duanya,” ujarnya.
Bagaimanapun, kata jurucakap itu, ia akan diputuskan setelah siasatan lengkap dijalankan pihak penyiasat jabatan.
#Akta Perhutanan Negara 1984 #bijih timah #Gerik #hutan simpan #Hutan Simpan Kenderong #Hutan Simpanan Kekal #Jabatan Perhutanan #laporan polis #lombong #lombong haram #pelombong #penjara #Perak #polis #serbuan #siasatan #sita #suspek
;