Lombong emas runtuh: Tujuh maut, lapan masih hilang

Nuzuluddin Abdul Razak
September 17, 2022 20:34 MYT
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) baki mangsa tragedi Perlombongan Emas Tanpa Izin (PETI) yang runtuh di daerah Bengkayang, Kalimantan Barat (Kalbar) masih diteruskan. - Astro AWANI
KALIMANTAN BARAT: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) baki mangsa tragedi Perlombongan Emas Tanpa Izin (PETI) yang runtuh di daerah Bengkayang, Kalimantan Barat (Kalbar) masih diteruskan.
Tragedi yang berlaku pada Khamis, 15 September lalu di kawasan Perkampungan Kinade, Sambas itu setakat ini telah meragut nyawa tujuh orang pelombong manakala lima lagi berjaya diselamatkan.
Memetik laporan Pontianak Post, Ketua Polis Resort (Kapolres) Dr Bayu Suseno berkata beberapa anggota keselamatan dari pelbagai agensi telah dikerahkan ke lokasi kejadian termasuk penggunaan jentera jengkaut.
“Operasi SAR yang dilaksanakan tidak hanya melibatkan pasukan polis tetapi turut disertai oleh Pasukan SAR Sambas, Badan Menangani Bencana Daerah (BPPD) Benkayang dan anggota tentera Sambas.
“Sehingga waktu ini, pihak keselamatan masih meneruskan operasi SAR menggunakan jentera jengkaut, dan kita sudah menubuhkan pusat gerakan operasi (PGO) di lokasi untuk proses mengumpul data, dan maklumat kepada keluarga mangsa,” katanya.
Sementara itu, Dr Bayu mendedahkan setakat ini hanya empat orang mangsa yang maut dan seorang mangsa yang masih hilang telah dikenal pasti identitinya oleh pihak keluarga.
“Berdasarkan maklumat awal jumlah keseluruhan mangsa yang tertimbus adalah seramai seramai 20 orang.
“Mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Yiduanto berasal daripada perkampungan Landak, manakala empat daripada tujuh pelombong yang maut telah dikenal pasti identiti mereka,” ujarnya lanjut.
BACA: 20 pelombong tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kalimantan Barat
Untuk rekod empat bulan lalu, pada 26 Jun, lombong emas haram yang sama juga telah telah meragut nyawa dua orang pelombong akibat ditimbus tanah runtuh ketika kerja-kerja melombong dilakukan.
#lombong emas runtuh #Bengkayang #Kalimantan Barat #Kinade #operasi sar
;