Lolanopita meninggal dunia

Sinar Harian
Ogos 27, 2021 06:26 MYT
Lolanopita meninggal dunia di Hospital Tuanku Ampuan Najihah(HTAN) jam 2.30 petang pada Jumaat. - Foto Sinar Harian
KUALA PILAH: Ibu kepada remaja orang kurang upaya (OKU) Allahyarham Muhammad Firdaus Dullah, Lolanopita Sadi, 47, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ampuan Najihah(HTAN) di sini jam 2.30 petang pada Jumaat.
Rakan Allahyarham, Soriati Parmin, 42, berkata, Allahyarham meninggal dunia ketika sedang mendapat rawatan di hospital berkenaan akibat penyakit buah pinggang, kencing manis dan darah tinggi.
"Arwah kawan baik saya dan dia sebenarnya dah lama sakit. Isnin lepas dia sepatutnya buat dialisis di Hospital Jempol tetapi disebabkan darahnya kurang, dia terpaksa dimasukkan ke HTAN.
"Sepatutnya hari ini dia dibenarkan keluar dari hospital, tapi suami arwah telefon saya beritahu yang dia sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Menurutnya, Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Islam Mahsan, Jempol kira-kira jam 8 malam pada Jumaat.
Pada 18 November 2014, Lolanopita dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mengabaikan dan membiarkan anak OKUnya tinggal tanpa pengawasan antara Januari hingga Jun.
Muhammad Firdaus, 16 ditemui dalam keadaan menyedihkan pada 21 Jun ketika operasi Jabatan Imigresen Negeri Sembilan yang memburu pendatang tanpa izin di kawasan rumah pangsa Taman Semarak, Nilai.
BACA: Remaja OKU didakwa diabai ibu tampak lebih sihat
BACA: Remaja OKU, Muhammad Firdaus Dullah meninggal dunia
Muhammad Firdaus yang ditempatkan di Taman Sinar Harapan Tengku Ampuan Najihah Seremban disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban pada tahun 2015 dipercayai akibat diserang sawan ketika makan tengah hari.
Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#Lolanopita #meninggal dunia #Muhammad Firdaus Dullah #OKU
;