Lokman Noor Adam didakwa mengapi-apikan orang awam di laman YouTube

Bernama
Oktober 15, 2019 12:20 MYT
Lokman Noor Adam didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam pada Selasa atas pertuduhan mengapi-apikan orang awam untuk melakukan kesalahan terhadap orang awam lain. - Gambar fail
Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini, atas pertuduhan mengapi-apikan orang awam untuk melakukan kesalahan terhadap orang awam lain.
Lokman Noor, 46, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan yang dibacakan di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin.
Mengikut pertuduhan, Lokman Noor didakwa membuat kenyataan dengan niat mengapi-apikan orang awam untuk melakukan kesalahan terhadap orang awam lain menerusi laman sosial Youtube atas nama profil 'Lokman Adam' pada 12.01 tengah malam hingga 11.59 malam, 12 Ogos lepas.
Hantaran di laman Youtube itu dilihat kira-kira pukul 5 petang pada 13 Ogos lepas di bangunan Menara 1, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini.
Lokman Adam didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sophian Zakaria mencadangkan kepada mahkamah supaya Lokman Noor dikenakan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin kerana pertuduhan itu adalah serius serta mengandungi unsur yang boleh membakar sentimen perkauman di negara ini.
"Oleh itu, mahkamah perlu melihat pertuduhan ini dengan serius bagi memberi mesej kepada orang awam demi menjaga kepentingan awam," katanya.
Peguam Lokman Noor, N.Logendran pula memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan berkenaan memandangkan anak guamnya tidak lagi bekerja ekoran dipecat daripada menjadi Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan selepas pertukaran tampuk pentadbiran kerajaan.
"Anak guam saya tidak bekerja sejak 13 bulan lepas dan perlu menanggung 11 anak yang masih belajar serta bersekolah. Malah, anak guam saya juga menghidap penyakit diabetes kronik serta baru dua minggu keluar dari hospital," katanya.
Majistret Erry Shahriman membenarkan Lokman Noor diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Nov ini untuk sebutan semula kes. - BERNAMA
#didakwa #Lokman Noor Adam #MAHKAMAH Majistret Shah Alam #mengapi-apikan orang awam #YouTube
;