Lokman Noor Adam bersalah hina mahkamah, dipenjara sebulan

Astro Awani
Julai 15, 2021 12:19 MYT
Lokman ketika hadir bagi mendengar keputusan prosiding komital yang dikemukakan Peguam Negara terhadap dirinya atas dakwaan mengugut seorang saksi dalam perbicaraan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dijatuhi hukuman penjara sebulan selepas didapati bersalah menghina mahkamah.
Ia susulan tindakannya mengugut saksi dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Lokman menjalani hukuman penjara bermula hari ini.
Mahkamah membenarkan permohonan Lokman yang diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah agar hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.
Mahkamah kemudian memerintahkan Lokman dikenakan bon jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin.
Sinar Harian dalam laporannya menyebut pada 22 Oktober 2019, Sequerah memberi kebenaran kepada Peguam Negara ketika itu Tan Sri Tommy Thomas untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman kerana tindakan responden yang didakwa menghina mahkamah sebanyak dua kali pada 25 September 2019.
Pada 14 Januari 2020, Sequerah menolak permohonan Lokman untuk mengetepikan kebenaran yang diperoleh Thomas dan responden juga gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.
Thomas, yang dilantik sebagai Peguam Negara pada 4 Jun 2018 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, bagi tempoh dua tahun menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebelum mengambil keputusan meletak jawatan pada 29 Februari 2020, memulakan prosiding komital terhadap Lokman dan memohon perintah supaya responden dipenjara atau didenda atas tindakannya menghina mahkamah.
Menurut Thomas, pada 25 September 2019, Lokman dalam satu temu bual mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau ugutan terhadap Amhari Efendi kerana memberi keterangan pada perbicaraan bekas perdana menteri itu di Mahkamah Tinggi.
Thomas berkata, pada hari sama, Lokman membuat laporan polis terhadap Amhari Efendi, yang merupakan saksi pendakwaan kelapan, berhubung keterangan saksi itu pada perbicaraan berkenaan.
Katanya, matlamat atau tujuan tindakan responden itu ialah untuk mengganggu dan menakut-nakutkan Amhari Efendi, saksi lain dan mana-mana saksi berpotensi untuk tampil memberi keterangan terhadap Najib dalam perbicaraan kes 1MDB.
#Lokman Noor Adam #Bekas MT UMNO #Mahkamah Tinggi KL #hina mahkamah #ugut saksi #1MDB #Najib Razak
;