Lokman Adam ditahan polis
Astro Awani
Jun 13, 2019 00:52 MYT
Jun 13, 2019 00:52 MYT
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam ditahan pada Khamis kerana dikatakan menghalang pihak polis melakukan tugas mereka sewaktu menjalankan siasatan di kediamannya di Kajang, Selangor.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat dalam satu kenyataan, semasa siasatan dijalankan pihak polis telah mengarahkan Lokman menyerahkan telefon bimbitnya untuk diperiksa, namun beliau enggan memberikan kerjasama.
"Dia telah menjerit memaki hamun pegawai polis yang sedang menjalankan tugasnya," katanya.
Tambahnya, seorang lagi yang turut ditahan bersama Lokman ialah bekas Ahli Parlimen Padang Serai yang juga ahli MIC, N. Gobalakrishnan.
Fadzil berkata, Gobalakrishnan ditahan atas sebab menghalang tugas polis, mengherdik serta melakukan beberapa provokasi lain.
"Kedua-dua mereka telah ditahan kerana menghalang tugas penjawat awam dan mengeluarkan kata kata kesat," tambahnya.
Jelas Fadzil, Lokman dan Gobalakrishnan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.
Lokman, pada Selasa lalu telah membuat laporan polis di IPD Kajang berhubung klip video intim yang didakwa mengandungi aksi seks luar tabii mirip seorang Menteri Kabinet.
Beliau yang juga Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat turut membuat satu laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tuduhan bahawa menteri Kabinet berkenaan telah menerima sejumlah AS$741,440 (RM3.08 juta) daripada satu konglomerat pada Disember 2017.
#Ahli Majlis Tertinggi UMNO
#bekas Ahli Parlimen Padang Serai
#IPD Kajang
#Jabatan Siasatan Jenayah Selangor
#Lokman Adam
#Lokman Noor Adam
#N Gobalakrishnan
#Seksyen 186 Kanun Keseksaan
#video intim
#video seks