Lokasi peninggalan Tok Gajah, Mat Kilau boleh dijadikan hab budaya - Nazri
Bernama
Februari 12, 2017 09:52 MYT
Februari 12, 2017 09:52 MYT
Tempat peninggalan sejarah pahlawan Melayu seperti Tok Gajah dan Mat Kilau mempunyai potensi menjadi Zon Warisan Kepahlawanan Melayu yang boleh dibangunkan sebagai hab kebudayaan.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata kawasan seperti Kampung Budu dan Kampung Pulau Tawar di Pahang, contohnya sehingga sekarang mempunyai banyak bukti perjuangan mereka, sekali gus perlu terus dipelihara.
"Usaha ini penting kerana selain menjadi tarikan pelancong ia akan membolehkan generasi akan datang tetap mengenali tokoh-tokoh perjuangan kemerdekaan tanah air kita," katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 250 waris kepada Tok Shahrom di sini pada Sabtu.
Tok Shahrom ialah bapa kepada Tok Gajah (Khatib Rasu Abd Salam), manakala Mat Kilau adalah anak Tok Gajah.
Mohamed Nazri, yang mempunyai pertalian darah dengan keluarga pahlawan negara itu, turut melancarkan Persatuan Waris Tok Shahrom-Tok Gajah-Mat Kilau Malaysia atau Indera Gajah Pahang.
Bercakap kepada pemberita kemudian, Mohamed Nazri berkata beliau sendiri pernah melawat Kampung Budu yang pernah diperintah Tok Gajah satu masa dahulu dan melihat kesan peninggalannya.
"Saya lihat tempat ini tipikal kampung Melayu dan banyak tempat bersejarah, gua-gua, masjid lama dan telaga, namun ia tidak diurus dengan baik.
"Tetapi dengan kita jadikan ia sebagai hab pahlawan, saya percaya ia akan dapat diurus dengan lebih baik," katanya yang turut percaya keindahan semulajadi tempat berkenaan dapat menjadi tarikan ekopelancongan.
Beliau seterusnya menggalakkan setiap daerah mengembangkan tarikan pelancongan sendiri kerana sektor itu boleh menjana pendapatan dan menyumbang kepada pendapatan penduduk.
Mengenai Indera Gajah Pahang, Mohamed Nazri yang turut dilantik sebagai penasihatnya, percaya gabungan waris generasi pahlawan negara itu akan dapat membantu penyelidikan lebih menyeluruh dan tepat mengenai sejarah Tok Gajah dan Mat Kilau. -- Bernama