Lokasi 'hotspot' sampah haram, jadi taman mini - Datuk Bandar

Aida Aziz
Jun 14, 2024 00:30 MYT
Sebuah kawasan di Hala Rapat Baru, Ipoh, pada asalnya merupakan 'hotspot' sampah haram, tetapi kini telah diindahkan menjadi taman mini. - Foto MBI
IPOH: Hasrat menjadikan sesebuah bandar raya bebas daripada masalah sampah haram dapat dilaksana jika mendapat kerjasama semua pihak.
Sebagai contoh, usaha yang dilakukan sebuah syarikat di sini, yang berjaya mengindahkan lokasi longgokan sampah haram yang sudah sekian lama, menjadi taman mini.
Menurut Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin, kawasan di Hala Rapat Baru itu pada asalnya merupakan 'hotspot' sampah haram.
Katanya, sebelum ini, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sering membersihkan kawasan itu daripada longgokan sampah pihak tidak bertanggungjawab.
"Dengan inisiatif dan usaha murni pihak syarikat, menjadikan lokasi itu berubah wajah daripada tempat pembuangan sampah yang kotor kepada indah.
"Kini ia sudah cantik dan bermanfaat untuk digunakan pelbagai pihak kelak, di samping ada bangku untuk jadi tempat berehat.
"Usaha syarikat tersebut menggunakan bajet sendiri dalam program itu wajar dipuji serta menjadi contoh kepada syarikat lain.
"Diharap ia menjadi pemangkin usahasama MBI dengan syarikat dalam merealisasikan hasrat Ipoh bandar raya bersih dan sejahtera," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kerjasama Strategik Pengindahan MBI&Perodua Kiam Fatt Motor Sdn Bhd, di sini.
Rumaizi berkata, program tersebut merupakan salah satu program di bawah MBI Prihatin.
Pada penghujung tahun 2020, terdapat 1,672 hotspot sampah haram di kawasan pentadbiran MBI.
Mulai tahun 2021, lokasi sampah haram itu berjaya ditutup secara berperingkat dan kini hanya tinggal 120 hotspot.
Tambahnya, sejak tahun 2021 hingga 31 Mei lalu, sebanyak 1,756 papan tanda ‘Dilarang Membuang Sampah’ dipasang di hotspot pembuangan sampah haram.
#sampah #taman mini #Ipoh #Rumaizi Baharin