Lokasi bersejarah: Papan bukan lagi pekan hantu, sepi

Aida Aziz
Mac 19, 2023 08:00 MYT
Papan tanda arah untuk pengunjung dibuat ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, sebagai sebahagian kerja-kerja memulihara serta mengindahkan Papan, yang dilakukan mulai tiga tahun lalu. - Foto Astro AWANI
KUNJUNGAN ke pekan Papan dekat Pusing kali ini tidak seperti pengalaman sebelumnya, tiada lagi lambakan anjing liar yang berkeliaran di merata tempat dan pemandangannya nyata lebih ceria.
Bahkan Papan yang wujud lebih 100 tahun itu sebelum ini sering diberi julukan pekan hantu, sepi atau tidak terjaga kini sudah bertukar wajah.
Perubahan drastik dapat dilihat menerusi papan tanda baharu dan aktiviti pelancongan yang rancak berjalan dengan penglibatan penduduk setempat khususnya.
Apa yang menarik perhatian tentunya kewujudan dua galeri buat pengunjung mengetahui lebih lanjut sejarah serta asal usul Papan, yang dahulunya merupakan pekan perlombongan bijih timah tertua di Lembah Kinta.
Usaha dan dedikasi untuk mengembalikan semula kawasan ini sebagai tarikan pelancong diketuai oleh Ketua Kumpulan Konservatif Warisan Papan, Chew Seng Leong atau mesra disapa Jacky.
Menurutnya, kerja-kerja memulihara serta mengindahkan Papan dilakukan bermula tiga tahun lalu, sebelum pandemik COVID-19 dan sehingga kini mereka masih meneruskan kelangsungan program berkenaan.
"Kami merupakan kumpulan kecil yang mempunyai seramai lima orang ahli tetap. Bagaimanapun terdapat juga sukarelawan lain yang hadir dan sertai kerja tersebut.
"Kami mulakan inisiatif ini setelah melihat pekan ini memang lokasi bersejarah, tetapi malangnya ia tidak terjaga dan penduduknya ramai sudah berpindah ke tempat lain.
"Sayang sekali jika tempat ini hilang sebagai salah satu tempat sejarah dan tumpuan pelancong berasaskan bijih timah.
"Masalah di sini yang sudah berlarutan sekian lama ialah najis kerbau yang berada di merata-rata tempat, kalau haiwan peliharaan itu masuk ke sini maka akan ada banyak najis yang mencacatkan pemandangan," katanya kepada Astro AWANI.
Ujarnya yang juga Kurator Muzium Perlombongan Bijih Timah Kinta, Galeri Sejarah Kampung Baru Malaysia dan Galeri Warisan Papan yang diwujudkan di situ turut mendapat kerjasama daripada penduduk setempat yang menyumbang kepada barang pameran.
"Papan tanda arah untuk pengunjung yang ada di situ kami buat sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan.
"Banyak barangan lama dan artifak yang disumbangkan oleh orang kampung di sini, mereka pinjamkan untuk diletakkan di galeri berkenaan. Ini semua usaha semua orang, kita bantu apa yang patut," katanya.
Jacky berkata, sehingga kini masih terdapat kira-kira 200 penduduk yang mendiami pekan tersebut dengn majoritinya masyarakat Cina.
Antara tarikan baharu di sini yang menggamit perhatian seperti lorong lukisan lantai, Galeri Warisan Papan, pokok banyan yang berakar di dinding, Masjid Papan, Rumah Asal Raja Billah serta Sybil Kathigasu Memorial.
Ditanya mengenai harapannya untuk Papan selepas ini, beliau berkata kehadiran ramai pengunjung dari dalam dan luar negara pada hujung minggu sememangnya suatu yang mengejutkan.
Baginya dan penduduk kampung, ia satu perubahan yang begitu mendadak dan sudah tentu beliau berharap supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) atau kerajaan negeri bertindak lebih agresif untuk bantu mempromosi Papan.
"Kita harap dapat sokongan daripada pihak yang terbabit, semuanya untuk memulihara warisan sejarah Perak. Kami harap Papan dapat jadi kawasan pelancongan bertemakan warisan.
"Buat sementara waktu kita bergerak sendiri dulu. Kita akan tubukan beberapa galeri lagi di Papan, kita juga sentiasa bekerjasama dengan persatuan sejarah serta warisan untuk pastikan fakta yang dipamerkan itu tepat," tambah Jacky.
Sementara itu, menyentuh serba sedikit tentang sejarah Papan, Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee berkata, Papan mewakili beberapa nama lain seperti Kota Papan, Pengkalan Papan dan Klian Papan.
"Rekod awal orang Eropah, nama Papan dieja Pappan atau Pappin. Asal usul nama Papan dikatakan mempunyai kaitan dengan kegiatan pembalakan di situ," katanya.
Jelasnya, kemunculan Papan mempunyai kaitan dengan Sultan Ismail. Baginda dianggap sebagai pengasas kepada bandar Papan.
"Sebelum Papan muncul sebagai bandar perlombongan bijih timah, ia merupakn kawasan pembalakan terutama kayu cengal.
"Hasil kerjasama antara pelombong Melayu dan Cina, Papan muncul sebagai salah sebuah kawasan lombong yang sangat aktif di Lembah Kinta.
"Kejayaan tersebut menyebabkan komuniti pelombong di Perak pernah menyebut Papan sebagai 'big Perak' manakala Taiping 'small Perak'," katanya.
Bagaimanapun katanya, pembangunan di Papan musnah dalam kejadian kebakaran besar pada tahun 1911.
Kebakaran tersebut menjejaskan rupa bentuk bandar itu dan menjadi titik tolak kepada kemerosotannya.
"Sejak itu, populasi di Papan direkodkan semakin menurun kepada 1,285 orang sahaja, pada tahun 1928 bandar itu mengalami era kejatuhannya.
"Hanya masyarakat Cina sahaja yang masih tinggal di bandar itu manakala masyarakat Eropah dan Melayu mula berhijrah ke Batu Gajah, Tronoh serta Pusing," jelas Nor Hisham.
#papan #lokasi bersejarah #pekan hantu #galeri
;