Lokasi batu granit porfiritik di Kampar belum dibuka

Aida Aziz
Oktober 3, 2022 20:57 MYT
Pada Ogos, media melaporkan pemilik tanah di lokasi batu granit porfiritik berkenaan terbuka dengan cadangan menjadikan kawasan unik itu sebagai satu lagi geotapak di negeri ini. - Gambar/ FB Pemerhati Lembah Kinta
IPOH: Kerajaan negeri menyangkal dakwaan bahawa lokasi batu granit porfiritik di Gunung Bujang Melaka, Kampar, sudah dibuka kepada orang ramai dengan kadar bayaran tertentu.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, sehingga kini pemilik tanah terbabit belum bersedia untuk membuka kawasan itu bagi kunjungan umum.
Ujar Nolee Ashilin, pemilik tanah berkenaan bagaimanapun menyambut baik cadangan menjadikan kawasan unik itu sebagai satu lagi geotapak di negeri ini.
"Saya bersama-sama pasukan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) ada turun ke kawasan tersebut.
"Pemilik belum lagi bersedia untuk membuka kawasan tersebut kepada orang ramai. Kami tidak ada hak untuk memaksa pemilik tersebut untuk membuka kepada orang ramai.
"Sekarang ini pula viral mengatakan yang ia (lokasi itu) dibuka dengan bayaran masuk RM5, itu sebenarnya tidak benar kerana pemilik masih belum bersedia.
"Di samping laluan itu tidak sesuai untuk diguna pakai oleh orang awam kerana melalui kawasan larangan Lembaga Air Perak.
"Terdapat dua atau tiga tangki besar dan pembinaan sedang dijalankan, jadi kita tidak akan membenarkan mana-mana pengunjung masuk mengikut jalan sedia ada," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis pelancaran Perak Box Office, di sini pada Isnin.
Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Pouch Nation, Goncalo Vaz de Carvalho dan Ketua Pegawai Eksekutif L’Univers, Shannon Lee.
Dalam pada itu, beliau memberitahu kerajaan negeri telah meminta JMG untuk melakukan kajian lebih terperinci, bagi melihat nilai geotapak tersebut.
"Ia memang mengandungi granit dalam kadar skala yang sangat besar dan hanya satu-satunya di Malaysia, bagaimanapun kajian masih berjalan.
"Beliau (pemilik tanah) bukannya kata tidak bersetuju (buka kepada orang ramai), tetapi infrastruktur yang dibina di situ hanya khas untuk kegunaan keluarga.
"Jadi daripada segi keselamatan dan kesediaan untuk menerima pengunjung yang ramai perlu diambil kira, kerana semua ini membawa kepada perkara tidak dijangka seperti kemalangan," katanya.
Pada Ogos, media melaporkan pemilik tanah di lokasi batu granit porfiritik berkenaan terbuka dengan cadangan menjadikan kawasan unik itu sebagai satu lagi geotapak di negeri ini.
Nolee Ashilin berkata, maklum balas positif itu diperoleh setelah perjumpaan diadakan bersama pihak berkaitan dan pemilik tanah di lokasi terbabit.
Bagaimanapun, katanya, antara perkara yang menjadi perhatian ketika ini ialah isu keselamatan dan prosedur yang perlu dipatuhi sebelum membenarkan kawasan itu dibuka untuk pengunjung.
#Batu Granit Porfiritik #Kampar #tarikan pelancongan #belum dibuka
;