Loji Sungai Semenyih kembali beroperasi, bekalan air ambil masa untuk stabil

Sahlizah Mohamed
Disember 23, 2019 16:26 MYT
Dalam usaha membantu pengguna-pengguna terlibat dengan gangguan tidak berjadual, Air Selangor terus giat menyalurkan bekalan air kecemasan dengan pengagihan lori-lori tangki air dengan lebih kerap.
Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih yang terpaksa menghentikan tugas Jumaat lalu akibat pencemaran bau sudah kembali beroperasi jam 1 petang hari ini.
Bagaimanapun, proses rawatan dan pengeluaran air terawat akan mengambil sedikit masa sebelum bekalan stabil untuk disalurkan kepada pengguna.
Menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan sebentar tadi, pihaknya telah mengambil langkah proaktif bagi memastikan tahap pencemaran bau tidak meningkat semula.
Sementara itu, loji rawatan kumbahan (LRK) Bukit Tampoi, yang juga menerima sumber air mentah dari Sungai Semenyih, masih belum memulakan operasinya.
"Pihak Air Selangor akan memaklumkan perkembangan terkini berkaitan penyaluran air terawat kepada pengguna dari semasa ke semasa.
"Sebagai usaha lanjut memastikan tahap pencemaran bau tidak meningkat semula di air mentah Sungai Semenyih, pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sedang mengambil langkah proaktif dengan mengepam air dari Tasik Idaman ke Sungai Semenyih bagi tujuan penstabilan dan pencairan pencemaran bau ini," katanya.
Dengan langkah itu, Air Selangor berharap pencemaran bau tidak akan berulang.
BACA: Tiada air hingga pencemaran bau capai 0 ton - Air Selangor
Terdahulu, insiden pencemaran bau di sumber air mentah Sungai Semenyih bermula pada pukul 7.15 pagi, 21 Disember.
Susulan itu, LRK Bukit Tampoi turut terpaksa dihenti tugas bermula 3.30 petang Sabtu, mengakibatkan 336,930 akaun di 366 kawasan terjejas.
Dalam usaha membantu pengguna-pengguna terlibat dengan gangguan tidak berjadual, Air Selangor terus giat menyalurkan bekalan air kecemasan dengan pengagihan lori-lori tangki air dengan lebih kerap.
Pada masa sama, 11 Pusat Khidmat Setempat (PKS) terus beroperasi 24 jam di empat wilayah iaitu Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.
Selain sebagai pusat untuk membantu pengguna setempat dan aduan, PKS juga berfungsi sebagai pusat penjadualan dan pengagihan lori-lori tangki.
“Oleh itu, pengguna disaran mengunjungi PKS untuk berurusan dengan pihak Air Selangor supaya aduan dan masalah boleh ditangani dengan segera.
“Ini sekali gus bagi mengelakkan kesesakan talian di pusat panggilan Air Selangor," katanya.
Air Selangor juga meminta pengguna menggunakan pili-pili awam yang telah dipasang di 14 lokasi di seluruh kawasan terlibat bagi mendapatkan bekalan air.
“Selain daripada itu, Air Selangor turut mengagihkan botol air minum berkapasiti lima liter untuk kegunaan pengguna, khususnya bagi mereka di kediaman bertingkat,” jelasnya.
Sehingga jam 12 tengah hari tadi, sebanyak 6,930 botol air minum telah diagihkan ke kawasan-kawasan terlibat.
Air Selangor turut meminta pengguna terlibat terus bersabar dengan keadaan yang tidak diingini dan langkah-langkah yang lebih proaktif akan diambil bagi menyelesaikan isu ini dengan kadar segera.
Pengguna juga boleh merujuk ke semua medium yang tersebut di atas untuk maklumat semasa.
#air #Air Selangor #air terawat #Bukit Tampoi #gangguan bekalan air #henti tugas #Kuala Langat #loji rawatan air #lori tangki #LRA #pencairan #pencemaran bau #penstabilan #Semenyih #Sepang #sumber air mentah
;