Lockdown? - "Don't mention the 'L' word", tegas Khairy

Umavathi Ramayah
Januari 6, 2022 20:47 MYT
Khairy memberitahu, pelaksanaan 'lockdown' mampu menurunkan kes COVID-19, namun bukan solusi mutlak sebaliknya dilihat sebagai tindakan ke belakang. - Gambar fail/ BERNAMA
KUALA LUMPUR: "Don't mention the 'L' word," tegas Khairy Jamaluddin ketika ditanya sama ada kerajaan akan pertimbangkan untuk melaksanakan lockdown semula memandangkan varian Omicron semakin menular dalam negara.
Meskipun pelaksanaan lockdown atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu mampu menurunkan kes COVID-19, katanya ia bukan solusi mutlak sebaliknya dilihat sebagai tindakan ke belakang.
"Kita kena bertindak balas dengan kaedah yang berkesan tetapi tidaklah keterlaluan. Kita buka sempadan kerana ia diperlukan oleh penduduk kita yang belajar di luar negara, yang berniaga di luar negara dan mereka yang nak datang berniaga di sini.
"Sampai bila kita hendak tutup sempadan? Kita sudah buka... Seboleh mungkin kita bergerak ke hadapan, kita tidak toleh ke belakang, sebab itu saya cakap don't mention the 'L' (lockdown) word. Lockdown itu kita toleh ke belakang.
"Saya dan Tan Sri (Dr Noor Hisham Abdullah) memang elak itu (lockdown). Sudah tentu kalau kita laksanakan lockdown, kita boleh kes sifar, kita menang. Tapi apa guna? Penduduk terkesan dengan masalah kesihatan mental dan negara berdepan dengan ketidakstabilan ekonomi," katanya pada sidang media di Parlimen di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu ditanya mengenai pertikaian segelintir masyarakat mengenai keberkesanan vaksin susulan kajian pengambilan dos keempat, Khairy menjelaskan, pemberian tambahan dos penggalak kedua itu dimulakan Israel.
"Pengeluar vaksin dari awal sudah akui bahawa mereka tidak tahu berapa lama kesan liputan pelalian ini akan kekal dan kini kita dapati ia mula menyusut selepas tempoh enam bulan.
"Justeru, di sini wujud keperluan mengambil dos penggalak bagi memastikan tahap imunisasi seseorang berada pada tahap optimum, tetapi ia tidak bermakna bahawa vaksin tidak berkesan," katanya.
#Khairy Jamaluddin #Kementerian Kesihatan #total lockdown #Omicron #dos keempat
;