Lockdown di China? Malaysia tidak mampu dari segi ekonomi, kebajikan rakyat - Khairy

Umavathi Ramayah
Januari 9, 2022 19:25 MYT
Khairy Jamaluddin (kanan) memberitahu, Malaysia tidak mampu dari segi ekonomi dan kebajikan rakyat untuk mengikut jejak langkah China yang melaksanakan perintah berkurung. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Malaysia tidak mampu dari segi ekonomi dan kebajikan rakyat untuk mengikut jejak langkah China mengamalkan strategi sifar COVID-19 dengan melaksanakan perintah berkurung di Yuzhou selepas tiga kes COVID-19 tidak bergejala dikesan di bandar raya itu, baru-baru ini.
Meskipun mengakui strategi itu berkesan namun Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberitahu, Malaysia mengamalkan strategi mitigasi dalam mengawal pandemik COVID-19.
"Tidak dinafikan pendekatan China berkesan. Namun strategi mereka iaitu containment atau zero COVID-19 bermaksud total lockdown bila ada hanya tiga kes positif. Malaysia tidak mampu dari segi ekonomi dan kebajikan rakyat untuk lockdown. Strategi kita mitigation.
"Bermaksud kita mengurus kes positif dengan berkesan, tingkatkan jumlah vaksinasi, jaga SOP (prosedur operasi standard), #TRIIS agar kadar kematian menurun, penggunaan ICU (unit rawatan rapi) turun dan kemasukan hospital turun," katanya dalam ciapan terbaharunya di sini, pada Ahad.

Tidak dinafikan pendekatan China berkesan. Namun strategi mereka iaitu containment atau zero COVID bermaksud total lockdown bila ada hanya tiga kes positif. Malaysia tidak mampu dari segi ekonomi & kebajikan rakyat untuk lockdown. Strategi kita mitigation. https://t.co/jjGXovLIJz pic.twitter.com/Fz5pPx5huC

— Khairy Jamaluddin (@Khairykj) January 9, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Baru-baru ini, lebih sejuta penduduk di Yuzhou di wilayah Henan dikenakan perintah berkurung selepas tiga kes jangkitan COVID-19 yang tidak bergejala dikesan di bandar tersebut.
Langkah itu diambil ketika China terus berusaha melaksanakan dasar ‘sifar COVID-19’ yang dianggap kebanyakan negara lain sebagai tidak masuk akal.
Perintah berkurung itu menyaksikan 1.17 juta penduduk Yuzhou tidak dibenarkan keluar dari rumah.
Dalam pada itu, sebagai membidas kenyataan Ahli Parlimen Bintulu daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Tiong King Sing yang mempersoalkan keupayaan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menangani COVID-19, Khairy memberitahu, beliau menyokong penuh kepimpinan Dr Noor Hisham untuk menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah Kesihatan.
"Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mendapat sokongan penuh daripada saya untuk menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia," ujarnya.
Media melaporkan, King Sing berpandangan bahawa Dr Noor Hisham perlu diganti dengan individu lain yang layak kerana dilihat tidak berupaya dalam mengendalikan pandemik COVID-19 di negara ini.
Menurutnya, walaupun beliau sebagai salah seorang pembuat keputusan dan terbaik dalam mengekang penularan varian Omicron, namun Dr Noor Hisham bukan daripada latar belakang kesihatan awam.
#Khairy Jamaluddin #Noor Hisham Abdullah #Kementerian Kesihatan #total lockdown #varian omicron #China
;