Loceng, lampu basikal laris bak pisang goreng panas
Ridauddin Daud
Januari 3, 2021 18:41 MYT
Januari 3, 2021 18:41 MYT
KUALA LUMPUR : Loceng dan lampu basikal sebelum ini langsung tidak laku, malah stok aksesori itu tersimpan sahaja selama berbulan-bulan.
Namun sejak dua ke tiga hari lepas, ia laris bak pisang goreng panas.
Kalau dulu, hendak jual satu pun susah tapi sekarang ramai pemilik basikal mula sibuk mencari aksesori itu selepas polis Putrajaya mewajibkan pemasangan loceng, brek dan lampu bermula 9 Januari depan jika ingin berbasikal di kawasan itu.
Menurut polis Putrajaya, dianggarkan 1,000 orang berbasikal di sana dan semalam (Sabtu, 2 Januari), polis mewajibkan pemasangan loceng, brek dan lampu bermula 9 Januari depan jika ingin berbasikal di kawasan itu.
Meskipun dikuatkuasakan di Putrajaya namun Tinjauan Astro AWANI di Lembah Kelang mendapati, kedai basikal sudah mula dipenuhi pemilik basikal yang mahu memasang loceng dan lampu.
Bagi pemilik kedai basikal, Lim Mee Meow, dia dan pekerjanya sejak tiga hari lepas tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan yang tidak putus-putus datang ke kedainya.
Menurutnya, jika sebelum ini pelanggan tidak peduli pada loceng basikal namun kini ramai yang mahu memasangnya, katanya kerana tidak mahu disaman ketika berbasikal.
"Loceng dulu orang tak nak pasang, sekarang orang minta nak pasang. Kalau tidak pun, orang minta nak pasang hon, ada lampu juga. Ini juga boleh letak telefon bimbit (sambil menunjukkan barangan), tiga dalam satu.
"Ini dulu tidak laku tapi sekarang satu hari boleh habis 20 ke 30 buah, loceng pun sama," katanya ketika ditemui di kedainya pada Ahad.
Dalam pada itu, seorang lagi peniaga basikal, Chua Eng Kiong berkata, sebenarnya setiap kali basikal masuk ke kedai, ia dilengkapi loceng dan ‘reflector’.
Namun, kebanyakan pelanggan meminta aksesori itu ditanggalkan meskipun tujuannya dipasang adalah untuk keselamatan penunggang.
"Mula daripada pengeluaran di kilang, basikal semua sudah dilengkapkan dengan benda-benda seperti loceng, itu semua. Memang semua sudah lengkap.
"Jadi untuk rider yang kayuh basikal, sepatutnya benda itu mesti diwajibkan dipasang," ujarnya.
Apabila ditanya sama ada aksesori itu hanya perlu dipasang ketika berbasikal di kawasan tertentu, Eng Kiong berkata, ia patut digunakan di mana-mana saja kerana kepentingan fungsinya.
Begitupun, katanya, semua aksesori keselamatan itu tiada gunanya, jika penunggang sendiri tidak memastikan diri mereka selamat ketika berkayuh.
Sementara itu, penunggang basikal, Kamarul Annuar Mohamed Fakri menyambut baik pelaksanaan undang-undang terbaru itu kerana ia adalah untuk keselamatan penunggang juga.
"Nak kata benda ini wajib atau efektif, belum tahulah, tapi sekurang-kurangnya kita ambil langkah pencegahan. Sekurang-kurangnya ada daripada tiada.
"Dengar (deringan loceng) itu mungkin tidak dengar bagi mereka yang di dalam kereta, tapi maksudnya, ada langkah ke depan untuk kita kuat kuasa, untuk kurangkan kemalangan contohnya," katanya.
#basikal
#loceng
#lampu
#brek
#Putrajaya
#aktiviti basikal
#undang-undang
#polis
#keselamatan
#peniaga
#kedai basikal