'lmu alam sekitar dan hukum syarak tidak patut diasingkan' - Mahmood Zuhdi

Hilal Azmi
Mac 8, 2016 18:52 MYT
MAHMOOD ZUHDI: Penyelidikan yang serius menjadi elemen yang sangat penting dalam memahami hukum syarak berkaitan dengan alam sekitar. - Gambar fail
Kekurangan ilmuan Islam dalam bidang alam sekitar menjadikan usaha memahaminya melalui hukum syarak semakin lemah.
Menurut Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid dari Kulliyah Ilmu Wahyu & Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, pembahagian antara ahli agama dengan saintis tidak patut wujud.
"Keadaan ini menjadikan banyak ilmu Islam yang sepatutnya digunakan dalam kehidupan seharian terasing malah sewenang-wenangnya dicedok daripada sudut istilahnya untuk ampak lebih Islamik," katanya.
Baliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Fiqh Al-Bi'ah & Kepentingannya Dalam Kerangka Maqasid al-Syariah' di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini, hari ini.
Memberi contoh perbankan Islam, Mahmood Zuhdi menjelaskan, penggunaan istilah Arab bagi menunjukkan pemikiran Islam yang diamalkan dalam ilmu tertentu lebih bersifat kosmetik semata mata.
Justeru, beliau mendesak agar kerjasama erat dalam kalangan saintis alam sekitar dengan ulamak dalam mencari jalan terbaik bagi mencapai objektif pengabdian kepada Allah yang menjadi pegangan bagi semua umat Islam.
"Memang tidak dapat dinafikan, kita perlukan saintis yang ada ilmu yang mendalam berkaitan pengajian syariah tentang alam sekitar," katanya.
Katanya lagi, penyelidikan yang serius menjadi elemen yang sangat penting dalam memahami hukum syarak berkaitan dengan alam sekitar.
Jadi, pendekatan melalui kerangka Maqasid al-Syariah mampu memudahkan pemahaman Fiqh al-Bi'ah ataupun Fiqh Alam Sekitar.
Ini kerana pendekatan Maqasid al-Syariah merupakan gaya atau pendekatan cara berfikir yang bersifat objektif dan terbuka.
Mahmud Zuhdi turut menekankan bahawa Maqasid al-Syariah dapat memperkaya pengajian alam sekitar dalam menjiwai keperluan sebenar pengajian biarpun pada sesetengah masa ia bertentangan dengan dasar pembangunan negara.
#Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid #Kekurangan ilmuan Islam dalam bidang alam sekitar menjadikan usaha pemahaman melalui hukum syarak semakin lemah
;