LKIM sedang kenal pasti kumpulan nelayan Malaysia yang ditahan di Indonesia

T K Letchumy Tamboo
November 20, 2014 14:41 MYT
IRMOHIZAM: Proses pengenalpastian nelayan-nelayan yang terbabit akan dilakukan melalui nombor pendaftaran bot-bot yang mereka gunakan.
Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sedang berusaha untuk mengenal pasti kumpulan nelayan Malaysia yang dilaporkan telah ditahan di perairan Indonesia semalam.
Pengerusi LKIM, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata proses pengenalpastian ini akan dilakukan melalui nombor pendaftaran bot-bot yang terbabit.
"Kadang kala apabila kami menerima maklumat, nombor pendaftaran (bot) wujud tetapi bot itu bukan kepunyaan kita.
"Jadi, kami sedang mengenal pasti nelayan-nelayan (yang ditangkap) melalui nombor pendaftaran bot-bot tersebut," katanya kepada Astro AWANI apabila dihubungi.
Irmohizam turut berkata pihaknya telah menghubungi pihak Kedutaan Indonesia untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian itu.
"Kami juga sedang mendapatkan maklum balas daripada Wisma Putra dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengenai kedudukan nelayan-nelayan tersebut," katanya.
Apabila ditanya mengenai laporan media yang memetik kata-kata Presiden Republik tersebut, Joko Widodo, yang mengarahkan 10 ke 20 bot yang terlibat dikaramkan sebagai tanda pengajaran, Irmohizam berkata beliau ingin menunggu maklum balas rasmi Wisma Putra sebelum mengulas perkara itu.
"Yang paling penting sekarang ialah untuk memastikan keselamatan nelayan-nelayan tersebut," katanya.
Ia dilaporkan bahawa kerajaan Republik Indonesia telah menahan 200 nelayan Malaysia ekoran daripada tindakan penangkapan ikan secara haram di perairan negara tersebut.
Penahanan tersebut adalah susulan daripada pendekatan tegas yang baru yang disuarakan oleh Joko Widodo yang juga dikenali sebagai Jokowi.
"Tidak perlu menahan mereka (nelayan haram), karamkan bot mereka," kata Jokowi seperti yang dilaporkan oleh akhbar Jakarta Post.
"Karamkan 10 hingga 20 (bot). Itu akan membuatkan mereka berfikir. Tetapi ingat untuk selamatkan anak-anak kapal terlebih dahulu," kata Jokowi.
Menurut laporan Reuters di dalam sebuah wawancara bersama Setiausaha Kabinet Republik Indonesia, Andi Widjajanto, membanteras penangkapan ikan secara haram perlu demi menyelamatkan Indonesia yang mengalami kerugian sekitar USD $25 bilion (RM84 billion) setiap tahun.
#Indonesia #Irmohizam Ibrahim #nelayan #perikanan haram
;