LKIM sasar 32,000 pemilik bot daftar MyIsytihar tahun depan
Bernama
Ogos 13, 2024 20:47 MYT
Ogos 13, 2024 20:47 MYT
MANJUNG: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyasarkan kesemua pemilik bot nelayan seluruh negara mendaftar dalam aplikasi MyIsytihar LKIM menjelang akhir 2025.
Pengerusinya Muhammad Faiz Fadzil berkata LKIM sedang mempergiat usaha untuk memastikan 32,000 pemilik bot nelayan seluruh negara memuat turun aplikasi terbabit sekali gus memastikan usaha pendigitalan dalam industri itu dapat dilaksanakan.
Beliau berkata hingga Ogos tahun ini LKIM berjaya mendaftarkan 50 peratus pemilik bot melibatkan 16,000 pemilik sejak dilancarkan dua tahun lepas.
"Kita yakin bilangan ini (yang akan berdaftar) dijangka bertambah hasil gerak kerja LKIM negeri dan kita mahu kesemua pemilik bot ini menggunakan aplikasi ini selewat-lewatnya penghujung 2025.
"LKIM mahu nelayan gunakan kemudahan disediakan bagi memudahkan membuat pengisytiharan sendiri menggunakan telefon pintar tanpa terikat dengan waktu operasi pusat pengisytiharan dan pendaratan ikan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Ramah Mesra MADANI Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Negeri Perak di Dewan Serbaguna LKIM Negeri Perak yang turut dihadiri Pengerusi LKIM Perak N Sundralingam.
MyIsytihar LKIM dilancarkan pada 10 Ogos 2022 itu bertujuan mempercepat proses pengisytiharan oleh nelayan serta membantu pengumpulan data kerajaan berkenaan maklumat tangkapan ikan dengan lebih tepat.
Aplikasi itu juga akan memastikan segala inisiatif kerajaan termasuk subsidi untuk nelayan diterima sebaik mungkin supaya nelayan memperoleh hasil lebih baik.
Terdahulu, Muhammad Faiz turut menyampaikan bantuan kepada 136 nelayan negeri Perak melalui Program Peningkatan Pendapatan Nelayan B40-Bantuan Peralatan Penangkapan Ikan.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan Skim Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan kepada 65 penerima Persatuan Nelayan Negeri Perak (PENGGERAK) bernilai RM60,450.
Beliau berkata bantuan itu bertujuan membantu meningkatkan pendapatan nelayan golongan B40 yang terlibat dan nilai bantuan ini melibatkan dana RM450, 000 kepada 136 nelayan di Kerian, Manjung Utara dan Selatan, Pulau Pangkor dan Hilir Perak.
"Bantuan berupa enjin sangkut, tong ikan (fibre), jaket keselamatan dan peralatan berkaitan lain agar nelayan akan lebih proaktif memodenkan teknik penangkapan ikan sekali gus hasil tangkapan turut meningkat," katanya.
-- BERNAMA