LKIM perkenal pasar nelayan bergerak
Bernama
Julai 10, 2023 05:00 MYT
Julai 10, 2023 05:00 MYT
KUALA PERLIS: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperkenalkan projek pasar nelayan bergerak atau 'Pasar Nelayan Mobile' sebagai salah satu usaha meningkatkan ekonomi nelayan dan membantu rakyat membeli ikan segar, pada harga yang lebih rendah.
Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata sebagai projek rintis, LKIM menyediakan motosikal beserta dengan tong ikan dan baju hujan, bagi memudahkan penghantaran ikan kepada pengguna.
"Program ini berkonsepkan 'Dari Nelayan Ke Dapur', iaitu nelayan dapat menjual terus hasil tangkapan mereka kepada pengguna tanpa perlu bergantung kepada orang tengah," katanya kepada pemberita pada Program Rahmah, Mesra MADANI di sini pada Isnin.
Beliau berkata pada peringkat awal, pihaknya menyediakan sebuah motosikal lengkap dengan tong ikan kepada 16 persatuan nelayan kawasan (PNK), di seluruh negara bagi membolehkan ikan dijual sekitar 30 peratus lebih murah berbanding harga di pasar.
Muhammd Faiz berkata selain itu, LKIM juga akan memperluaskan Program Pasar Nelayan ke seluruh negara, dengan pembukaan 136 buah pasar nelayan.
Beliau berkata pasar tersebut dibina berhampiran dengan jeti dan akan diuruskan sendiri oleh PNK.
"Pasar nelayan ini perlu menjadi produk yang perlu diperkasakan dalam membawa agenda keterjaminan makanan. Kami mahu pastikan rakyat di seluruh negara, bukan hanya di kawasan pantai sahaja tetapi di kawasan bandar atau yang jauh dari pantai, juga mendapat manfaat daripada pembukaan pasar nelayan.
"Harga ikan di sini lebih murah berbanding di pasaran, kerana bekalan ikan diperoleh terus dari nelayan, tidak ada lagi orang tengah yang terlibat. Menerusi pasar nelayan, kita memotong rantaian bekalan itu dan dapat mengurangkan harga ikan," katanya.
-- BERNAMA