Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata ketika ini berlaku lambakan pelbagai spesies ikan selepas musim Monsun Timur Laut berakhir.
"Jadi, rezeki nelayan sekarang tengah 'murah'. Memang musim ikan tengah banyak sekarang.
"LKIM juga menyediakan stok simpanan ikan sejuk beku menerusi kaedah Q'Fish yang dijual pada harga yang sangat berpatutan. LKIM dengan kolaborasi syarikat swasta mempunyaibekalan sebanyak 1,590 metrik tan ikan segar beku sebagai persediaan untuk musim perayaan Aidilfitri bulan depan," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan persekolahan sempena Program MADANI Anak Nelayan Kembali ke Sekolah LKIM-BHPetrol bagi Persatuan Nelayan Kawasan (Hilir Perak) di Sungai Sumun di sini hari ini.
Sebanyak 100 anak-anak nelayan menerima peralatan sekolah seperti pakaian, kasut sekolah, botol air serta alat tulis dengan anggaran setiap seorang menerima bantuan berjumlah RM150.
Sementara itu, Muhammad Faiz mengingatkan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga ikan sesuka hati sehingga membebankan pengguna.
Beliau turut berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menjalankan pemantauan supaya harga ikan terkawal dan stabil.
"Sepatutnya apabila bekalan ikan itu banyak, harga ikan murah. Jadi, saya tekankan kepada peniaga supaya tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga ikan," katanya.
-- BERNAMA