LKIM jalin kerjasama dengan TLDM, APMM jaga keselamatan nelayan tempatan

Bernama
Januari 17, 2017 08:10 MYT
Irmohizam berkata pengurusan tertinggi LKIM bersama-sama pemerintahan tertinggi TLDM telah mengambil inisiatif NBOS bagi menjadi rakan strategik membantu menjaga keselamatan nelayan. - Gambar fail
Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan bekerjasama dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi menjaga keselamatan nelayan di perairan negara.
Pengerusi LKIM Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata langkah itu diambil bagi mengelak nelayan tempatan diganggu oleh nelayan asing, yang didakwa dilatih separa tentera, yang sering mencerobohi perairan Malaysia.
"Pencerobohan nelayan asing itu mengganggu sumber pendapatan dan keselamatan nelayan tempatan," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Irmohizam berkata pengurusan tertinggi LKIM bersama-sama pemerintahan tertinggi TLDM telah mengambil inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi menjadi rakan strategik membantu menjaga keselamatan nelayan terutamanya di perairan negara.
Sambil menyokong usaha TLDM dengan program Rakan Maritim, beliau menggalakkan nelayan supaya menyertai Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM) dan Rakan Maritim.
Menurutnya nelayan tempatan perlu diberi perlindungan keselamatan terbaik memandangkan mereka menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan negara yang luas.
"Penguatkuasaan maritim perlu diperkasakan agar sumber perikanan negara dilindungi daripada kerakusan operasi bot asing dan secara langsung dapat meningkatkan sumber pendapatan nelayan tempatan," katanya. -- Bernama
#Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia #APMM #Irmohizam Ibrahim #keselamatan nelayan #Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia #LKIM #NBOS #TLDM
;