LKIM cadang bina slipway di Labuan

Bernama
Mei 13, 2024 05:45 MYT
Muhammad Faiz (kanan) melihat bot yang masuk untuk dibaiki di slipway PNK Kuala Kedah, Kampung Teluk Layang pada Isnin. - Foto Sinar Harian
ALOR SETAR: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bercadang membina satu lagi 'slipway' di Kompleks LKIM Labuan bagi mengatasi masalah kesukaran membaiki bot nelayan di kawasan berkenaan.
Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata kajian akan dilakukan bagi pembinaan berkenaan, namun pengwujudan kemudahan terbabit perlu bagi mengurangkan beban nelayan yang terpaksa ke 'slipway' swasta atau ke negara jiran yang menelan kos lebih tinggi.
Beliau berkata pembinaan 'slipway' di Labuan itu secara tidak langsung mampu menjadi pemangkin kepada peningkatan tenaga kerja mahir dalam industri pembaikan bot dan perkapalan.
"Sasaran kita yang saya lihat di Labuan... kita ada tanah-tanah kosong yang boleh dijadikan 'slipway'. Setakat pengamatan saya tukang-tukang bot ini banyak dari Thailand, jadi ini menunjukkan bidang pembaikan kapal ini menjadi keperluan mendesak dalam negara.
"... hal ini satu peluang cukup baik kepada anak-anak muda yang meminati industri ini," katanya selepas melawat Slipway Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Kedah di Kampung Teluk Layang dekat sini pada Isnin.
'Slipway' melibatkan kos berjumlah RM4.6 juta itu kini memudahkan nelayan untuk membaiki kapal-kapal kelas C dan C2 yang rosak (nelayan bot dalam) dengan kos minimum berbanding di 'slipway' swasta atau ke Thailand yang mengambil masa berbulan-bulan untuk siap.
Selain di Kuala Kedah, setakat ini, terdapat lima lagi 'slipway' di seluruh negara iaitu dua di Terengganu manakala masing-masing satu Pahang, Kelantan, dan Johor.
Muhammad Faiz turut menyarankan nelayan pantai supaya melakukan perubahan dengan mencuba tangkapan laut dalam kerana menjanjikan pendapatan dan hasil lebih lumayan.
Beliau berkata ia juga dapat mengatasi masalah pencerobohan bot nelayan asing hingga menjejaskan keterjaminan makanan negara.
"Kurangnya (nelayan) kita di laut dalam membuka ruang kepada pencerobohan, bagi saya kalau ramai nelayan menguasai laut dalam sudah pasti tak ada pencerobohan berlaku. Saya sarankan nelayan berani keluarkan modal kerana pulangan cukup tinggi dan LKIM sedia membantu," katanya.
-- BERNAMA
#Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia #kos minimum #slipway #tangkapan laut
;