LKAN: PDRM terlebih bayar selenggara helikopter

Fauzi Suhaimi
Ogos 24, 2020 15:51 MYT
Nik Azman berkata, lebihan itu berlaku berikutan pihaknya membayar meskipun helikopter berkenaan sudah tidak aktif lebih enam bulan. - Gambar fail
Jabatan Audit Negara (JAN) mendedahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikesan melakukan lebihan bayaran terhadap penyelenggaraan bulanan helikopter sebanyak RM105,875 bagi tempoh 19 bulan.
Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, lebihan itu berlaku berikutan PDRM tetap membayar sepenuhnya meskipun helikopter berkenaan sudah tidak aktif lebih enam bulan.
Beliau berkata, sepatutnya pengurangan sebanyak 25 peratus perlu dikenakan untuk penyelenggaraan helikopter yang sudah tidak aktif.
"Ini bermaksud, PDRM hanya perlu membayar RM28,875 sebulan kepada penyelenggaraan helikopter tidak aktif berbanding RM38,500 sebulan untuk penyelenggaraan helikopter yang masih aktif.
"PDRM membuat pembayaran tetap penyelenggaraan secara bulanan kepada dua helikopter tidak aktif berjumlah RM3.47 juta dalam tempoh tiga tahun," katanya pada sidang media Pembentangan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019, Siri 1, di sini, hari ini.
#Jabatan Audit Negara #KDN #Kementerian Dalam Negeri #lebihan bayaran #Malaysia #PDRM #penyelenggaraan bulanan helikopter #polis #Polis Diraja Malaysia
;