LKAN: Lewat tuntut ganti rugi, UiTM berisiko hilang RM51.08 juta
Bernama
Oktober 10, 2023 17:22 MYT
Oktober 10, 2023 17:22 MYT
KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi MARA (UiTM) berpotensi kehilangan hasil berjumlah RM51.08 juta susulan kelewatan dalam melaksanakan proses tuntutan ganti rugi terhadap 239 pemegang biasiswa penghutang pecah kontrak.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021, kelemahan dalam pelaksanaan tindakan tuntutan ganti rugi terhadap pemegang biasiswa yang pecah kontrak itu juga telah melibatkan kehilangan hasil berjumlah RM7.49 juta.
Berdasarkan hasil penemuan audit yang dijalankan ke atas sampel seramai 381 daripada 1,496 penghutang pecah kontrak yang dipilih sehingga Disember 2021, jumlah semakan bagi sampel terbabit melibatkan RM67.08 juta.
"Semakan Audit mendapati seramai 86 daripada 381 penghutang pecah kontrak dengan nilai hutang keseluruhan berjumlah RM6.23 juta telah dihapus kira pada tahun 2019 oleh Jawatankuasa Kewangan dan Pembangunan (JKP) UiTM.
"Hapus kira terhadap penghutang pecah kontrak berjumlah RM6.23 juta disebabkan had masa melebihi enam tahun daripada tarikh pecah kontrak yang menghalang UiTM melaksanakan proses pemfailan saman di mahkamah dan kehakiman, penghutang telah difailkan kebankrapan dan ketiadaan fail penghutang yang pecah kontrak di Pejabat Penasihat Undang-Undang (PUU) UiTM," menurut LKAN 2021.
Selain itu, LKAN 2021 memaklumkan seramai 259 daripada 1,496 pemegang biasiswa telah pecah kontrak kerana gagal menamatkan pengajian dalam tempoh masa yang ditetapkan dalam perjanjian dengan nilai keseluruhan ganti rugi berjumlah RM52.34 juta.
"Kelewatan UiTM melaksanakan proses tuntutan ganti rugi terhadap penghutang pecah kontrak telah mengakibatkan UiTM kehilangan hasil berjumlah RM1.26 juta dan berpotensi kehilangan hasil berjumlah RM51.08 juta," menurut laporan itu.
Menurut laporan itu, kelewatan menyediakan kertas kerja untuk kelulusan Jawatankuasa Induk Peningkatan Kerjaya Sumber Manusia UiTM (JKI-PKSM) dan ketiadaan beberapa dokumen berkaitan pemegang biasiswa pecah kontrak juga dikenal pasti menjadi punca tindakan tuntutan ganti rugi pecah kontrak gagal dilaksanakan.
Laporan audit itu mengesyorkan agar UiTM dapat memastikan pekeliling, prosedur kerja dan kontrak yang berkuat kuasa dipatuhi, dilaksanakan dan dipantau dengan cekap bagi tuntutan ganti rugi ke atas pemegang biasiswa yang pecah kontrak.
"Selain itu, menambah baik koordinasi, komunikasi dan pemantauan kerja antara Bahagian Kemajuan Kerjaya UiTM, Unit Kewangan Zon 2, Pejabat Bendahari dan Pejabat PUU UiTM sama ada di peringkat pelaksanaan atau pengurusan tertinggi, berhubung tindakan perundangan dan kutipan semula Wang Awam.
"UiTM juga disyorkan untuk memastikan pekeliling dan kontrak tuntutan ganti rugi ditambah baik antaranya dengan menerangkan secara terperinci bagi pemberhentian tindakan undang-undang terhadap penghutang pecah kontrak yang tamat pengajian di luar tempoh pengajian yang sepatutnya," menurut laporan itu.
-- BERNAMA