LKAN: Individu bertanggungjawab atas kerugian anak syarikat agensi kerajaan perlu dikena tindakan - MCW
Astro Awani
Februari 24, 2025 18:41 MYT
Februari 24, 2025 18:41 MYT
MCW berpendapat tahap ketelusan pelaporan kewangan anak-anak syarikat kerajaan masih pada tahap rendah.
KUALA LUMPUR: Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) memandang serius pendedahan Laporan Ketua Audit Negara yang menunjukkan hampir 40 peratus anak syarikat agensi kerajaan Persekutuan mengalami kerugian pada tahun 2023, dengan jumlah keseluruhan mencecah RM2.8 bilion.
Presidennya, Jais Abdul Karim berpandangan mana-mana individu yang didapati bertanggungjawab atas kerugian berulang ini perlu dikenakan tindakan undang-undang, termasuk siasatan terhadap kemungkinan unsur penyelewengan dan salah guna kuasa.
Jelas beliau, mekanisme penguatkuasaan seperti peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Audit Negara perlu diperkukuh untuk memastikan akauntabiliti dalam pengurusan dana awam.
"Sebagai sebuah negara yang menitikberatkan integriti dan ketelusan dalam pengurusan kewangan awam, kegagalan anak syarikat kerajaan tidak boleh dibiarkan berterusan tanpa tindakan tegas.
"MCW menyeru kerajaan untuk mengambil langkah reformasi segera bagi memastikan pengurusan syarikat berkaitan kerajaan lebih berdaya saing, telus dan bertanggungjawab kepada rakyat," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mengulas lanjut, MCW berpendapat tahap ketelusan pelaporan kewangan anak-anak syarikat kerajaan masih pada tahap rendah.
Ujar Jais, banyak syarikat kerajaan gagal membuat pendedahan kewangan yang jelas dan terperinci, sekali gus menyebabkan pemantauan lebih sukar.
Justeru, kerajaan perlu mewajibkan pendedahan kewangan yang lebih ketat serta memastikan semua anak syarikat terbabit menjalani audit bebas secara berkala bagi mengelakkan ketirisan dan salah urus kewangan.
Dalam masa sama, Jais menambah MCW melihat keadaan tersebut menunjukkan wujudnya kelemahan sistemik dalam tadbir urus serta pemantauan kewangan yang tidak berkesan.
"Ketiadaan tindakan pembetulan awal dan campur tangan yang tepat membuktikan bahawa mekanisme kawal selia sedia ada tidak berfungsi secara efektif.
"Jika keadaan ini berterusan, ia bukan sahaja merugikan dana awam tetapi juga melemahkan kepercayaan rakyat terhadap pengurusan kewangan kerajaan," tambahnya.
Sehubungan itu, MCW mencadangkan agar langkah pembaharuan segera dilaksanakan termasuk reformasi pengurusan dengan memastikan individu yang berkelayakan dan berintegriti dilantik menerajui syarikat berkaitan kerajaan.
Selain itu, mewajibkan audit tahunan bebas serta pemantauan ketat oleh agensi penguatkuasaan dan emperkenalkan dasar yang lebih tegas, termasuk menutup atau menyusun semula syarikat yang gagal menunjukkan prestasi baik dalam tempoh tertentu.