LKAN dedah kelemahan projek kerajaan: RoL, jalur lebar, ECER antara isu signifikan

Azyyati Ahmad
Julai 4, 2024 10:20 MYT
Laporan penuh LKAN 2/2024 boleh diakses di laman web Jabatan Audit Negara mulai pukul 10 pagi, 4 Julai 2024.
KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini mendedahkan beberapa kelemahan dalam pelaksanaan projek dan program oleh kementerian, jabatan kerajaan persekutuan, serta badan berkanun.
Laporan yang dibentangkan selepas mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong itu merangkumi dua naskhah utama:
1. Aktiviti Kementerian/Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan:
- Melibatkan sembilan pengauditan ke atas 11 kementerian dengan nilai kos keseluruhan program dan projek yang diaudit berjumlah RM41.97 bilion.
- Antara kelemahan yang dikenal pasti adalah kurangnya pemantauan, ketiadaan penyelarasan antara agensi, serta kelemahan dalam polisi dan prosedur kerja.
2. Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan:
- Pengauditan meliputi tahun 2019 hingga 2023 dan menilai tadbir urus korporat, kedudukan kewangan, serta pengurusan aktiviti utama syarikat.
- Laporan mendapati beberapa syarikat gagal mencapai objektif penubuhan dengan amalan tadbir urus korporat dan kedudukan kewangan yang tidak memuaskan.
Antara isu signifikan yang dibangkitkan termasuk Pengurusan Projek Sungai Nadi Kehidupan (River of Life atau RoL), program pemerkasaan infrastruktur telekomunikasi jalur lebar, dan projek di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Ketua Audit Negara, dalam kenyataannya, mengemukakan 64 syor audit untuk dilaksanakan oleh kementerian, jabatan, agensi, serta syarikat kerajaan yang diaudit. Mesyuarat Penutup juga telah diadakan untuk membincangkan penemuan audit dan mendapatkan maklum balas daripada pihak yang terlibat.
Selain itu, Jabatan Audit Negara akan melaksanakan inisiatif Pendigitalan Perkhidmatan Jabatan Audit Negara (PPJ) mulai Julai 2025, termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan dan teknik pengauditan secara remote untuk meningkatkan keberkesanan audit.
Rang Undang-Undang Audit (Pindaan) 2024 yang diluluskan pada 3 Julai 2024, turut menekankan pengukuhan peranan Ketua Audit Negara dalam memastikan pengurusan wang awam yang lebih komprehensif dan menyeluruh.
Laporan penuh LKAN 2/2024 boleh diakses di laman web Jabatan Audit Negara mulai pukul 10 pagi, 4 Julai 2024.
#Laporan Ketua Audit Negara #Syor Audit #Dewan Rakyat #syarikat kerajaan
;