LKAN: Alat ganti kapal TLDM bernilai RM384.49 juta tidak diguna
Sinar Harian
Julai 4, 2024 16:40 MYT
Julai 4, 2024 16:40 MYT
SHAH ALAM: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) siri 2/2024 mengenal pasti terdapat alat ganti bagi urusan penyenggaraan kapal bernilai RM384.49 juta yang tidak digunakan dan boleh mengakibatkan berlakunya pembaziran.
Berdasarkan Perintah Angkatan Tentera Malaysia Jilid lll Bab 16, Ketua Setiausaha Kementerian bertanggungjawab dalam memastikan pengurusan stor dilaksanakan secara teratur, cekap dan berkesan di Kementerian, Jabatan dan ATM.
Bagaimanapun, semakan audit mendapati alat ganti dengan nilai tersebut yang berada di Depot Bekalan Armada Barat (DBAB) dan Depot Bekalan Armada Timur (DBAT) tidak digunakan.
"DBAB mempunyai 1.62 juta unit alat ganti bernilai RM381.69 juta yang tidak digunakan dan rekod pengeluaran terakhir adalah antara tahun 1969 hingga 2017.
"DBAT pula mempunyai 6,040 jenis alat ganti bernilai RM2.80 juta tidak digunakan dan rekod pengeluaran terakhir adalah antara tahun 2017 hingga 2021.
"Perkara ini berlaku antaranya disebabkan peralatan kapal telah ditukar kepada jenama lain menyebabkan alat ganti ini tidak lagi sesuai digunakan," menurut laporan tersebut.
Selain itu, laporan berkenaan juga menyatakan berlaku kerosakan pada panel monitor Automated Warehouse and Retrieval System (AWRS) sejak bulan Oktober 2021.
Perkara tersebut turut menyebabkan alat ganti tidak digunakan apabila urusan menaik atau menurunkan alat ganti dari tempat simpanan tidak boleh dilakukan.
Sehubungan itu, LKAN mengeluarkan syor agar Kementerian Pertahanan dan TLDM memastikan Program Transformasi TLDM#15to5 di bawah RMKe-12 dan seterusnya dilaksanakan mengikut perancangan supaya sasaran pegangan kapal menjelang tahun 2050 dapat dicapai dan kesiagaan TLDM sentiasa berada di tahap yang tertinggi.
"TLDM perlu memastikan penyenggaraan kapal dilaksanakan mengikut jadual dengan keperluan sumber kewangan yang mencukupi supaya kapal sentiasa berada dalam tahap kesiagaan yang ditetapkan.
"TLDM hendaklah menyediakan pelan tindakan terhadap stok alat ganti yang tidak digunakan supaya dapat dimanfaatkan sewajarnya bagi mengelakkan berlakunya pembaziran," katanya. - Sinar Harian