LKAN 2019: Penempatan semula markas/unit TUDM dan TDM dari PUKL lewat tiga tahun

Firdaus Azil
Disember 10, 2020 14:07 MYT
Proses pemindahan Markas /Unit TUDM dan TDM dari PUKL enam lokasi baharu menelan belanja RM2.166 bilion, namun lewat tiga tahun. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Proses pemindahan Markas/Unit Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Darat Malaysia (TDM) dari Pangkalan Udara. Kuala Lumpur (PUKL) kepada enam lokasi baharu bernilai RM2.166 bilion, telah lewat selama tiga tahun.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019, yang diedarkan di Dewan Rakyat hari ini, projek tersebut mengambil masa selama tujuh tahun, berbanding tempoh asal selama empat tahun.
Berdasarkan perkara utama, LKAN berkata, projek penempatan semula PUKL meliputi dua komponen, iaitu pembinaan dan pemindahan unit TUDM dan TD ke PU Subang, PU Sendayan, Kem 31 Rejimen Artileri Diraja (RAD) Kajang, PU Kuantan, PU Butterworth, dan PU Gong Kedak.
“Sehingga 31 Disember 2019, PU Sendayan, PU Kuantan, dan baki dua komponen di PU Subang masih belum siap iaitu National Air Defence Operational Centre (NADOC) dan fasiliti lain.
“Kelewatan ini menyebabkan sebanyak 20 Markas/Unit di PUKL telah berpindah ke lokasi masing-masing Certificate of Acceptance (COA) dikeluarkan bermula Januari 2017, hingga 31 Disember,” menurut laporan itu lagi.
Selain itu, Audit mendapati, pengurusan projek Pembangunan Penempatan Semula Markas/Unit TUDM dan TDM di PUKL kurang cekap, kerana berlaku kelemahan di peringkat peracangan projek dan kelemahan dalam pentadbiran kontrak.
Antara kelemahan yang digariskan, menurut laporan itu lagi, justifikasi kelulusan pelantikan syarikat induk (848230-V) oleh Jemaah Menteri tidak dapat dipastikan memandangkan penyediaan Memorandum Jemaah Menteri bertarikh 27 April 2010 oleh Unit Perancang Ekonomi, adalah kurang terperinci.
“Kertas kerja lengkap mengenai asas dan justifikasi penetapan kos projek berjumlah RM2.166 bilion yang diluluskan oleh VM Lab tidak dikemukakan untuk semakan Audit.
“Di samping itu juga, ketiadaan taklimat projek di peringkat awal semasa penyediaan Perjanjian Penempatan Semula telah menyebabkan pertikaian antara syarikat induk (848230-V) dan Kementerian Pertahanan, berkaitan penambahan skop kerja dan pembekalan perabot,” menurut laporan itu lagi.
#TUDM #TDM #Pangkalan Udara Kuala Lumpur #Laporan Ketua Audit Negara 2019 #LKAN #Dewan Rakyat #ekonomi #menteri #rakyat #Malaysia #audit #keselamatan negara
;