LKAN 2019: Aset X milik TUDM bernilai RM3.574b lewat diterima, tidak tepati spesifikasi
Firdaus Azil
Disember 10, 2020 13:49 MYT
Disember 10, 2020 13:49 MYT
KUALA LUMPUR: Perolehan dan pengurusan empat ‘Aset X’ iaitu aset angkut taktikal milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi menggantikan ‘Aset Y’ yang telah berusia, telah melibatkan implikasi kewangan yang tinggi iaitu sebanyak RM3.574 bilion.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 yang diedarkan di Dewan Rakyat hari ini, penilaian mendapati perolehan aset berkenaan, bagi tempoh 2015 hingga 2019, telah dilaksanakan tanpa perancangan yang rapi.
Laporan tersebut menyatakan, selain proses penerimaan yang lewat iaitu selama 36 hingga 312 hari, kesemua Aset X tersebut tidak menepati spesifikasi dan konfigurasi yang ditetapkan.
“Pengurusan program perolehan Aset X adalah kurang cekap kerana perancangan perolehan tidak teratur, dan program offset tidak dilaksanakan mengikut klausa kontrak yang ditetapkan.
“Program retrofit bagi meningkatkan keupayaan Aset X dan pemantauan juga tidak dilaksanakan dengan teratur,” menurut laporan itu lagi.
LKAN menyebut, perolehan aset itu dilaksanakan melalui program aset dalam pembangunan melalui sebuah agensi antarabangsa yang dianggotai tujuh negara.
Antara kelemahan yang ditemui Jabatan Audit Negara (JAN) selain kelewatan penerimaan dan tidak menepati spesifikasi ialah, tiada bukti menunjukkan perancangan perolehan Aset X dibuat oleh TUDM, Air Staff Requirement (ASR) tidak disediakan, dan perolehan tidak melalui proses penyediaan spesifikasi yang ditetapkan.
Selain itu, LKAN berkata, perancangan program retrofit oleh Syarikat M bagi meningkatkan keupayaan Aset X telah tersasar, dan denda anggaran RM16.02 juta belum dikenakan terhadap syarikat tersebut.
LKAN turut menemui kelemahan seperti kelewatan pembaikan peralatan antara 40 hingga 235 hari daripada tarikh peralatan dihantar ke gudang sehingga peralatan diterima pembaikan.
Selain itu, LKAN mendapati tiada bukti pemantauan laporan pakej kerja dikemukakan setiap enam bulan oleh Syarikat M kepada Kementerian Pertahanan sejak Program Offset itu dilaksanakan.
#LKAN
#Laporan Ketua Audit Negara 2019
#Aset X
#TUDM
#Mindef
#audit
#Dewan Rakyat
#Malaysia
#tentera
#rakyat