LKAN 1/2025: Nilai semula kadar elaun Ahli Lembaga, KPI syarikat subsidiari - Penganalisis

Irfan Faruqi
Februari 25, 2025 21:36 MYT
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat  pada Isnin - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Teguran yang dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025, perlu disusuli dengan tindakan penilaian semula operasi syarikat-syarikat subsidiari dan agensi-agensi kerajaan dengan segera.

Ringkasan AI
  • Penilaian Semula Operasi: Teguran dalam LKAN perlu disusuli dengan tindakan penilaian semula operasi syarikat-syarikat subsidiari dan agensi-agensi kerajaan dengan segera. Penetapan Semula Elaun dan KPI: Penetapan semula elaun ahli Lembaga Pengarah (ALP) dan Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi setiap entiti terbabit, dengan elaun yang diberikan berdasarkan prestasi dan kehadiran. Larangan Lantikan Ahli Politik Aktif: Cadangan agar larangan lantikan ahli politik aktif dalam mana-mana entiti kerajaan dilaksanakan dengan lebih tegas, selaras dengan garis panduan tadbir urus yang baik.

Penganalisis berpendapatan, dua aspek yang boleh dilihat ialah dari segi penetapan semula elaun ahli Lembaga Pengarah (ALP) dan Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi setiap entiti terbabit.
Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff mencadangkan, kadar dan kaedah pembayaran elaun ALP diberikan sesuai dengan prestasi entiti yang disertai.
“Boleh berlaku isu konflik kepentingan yang mana wakil kementerian berada dalam ahli Lembaga Pengarah banyak syarikat subsidiari. Elaunnya pula dalam bentuk bulanan.
“Maknanya, jika dia tidak buat apa-apa atau tidak hadir mesyuarat, dia tetap dapat elaun. Pernah berlaku sebelum ini, seorang Ketua Menteri menjadi pengerusi 30 anak syarikat negeri.
“Bermakna jika dia dapat RM3,000 sebulan (untuk satu anak syarikat), busuk-busuk dia boleh dapat RM90,000 tanpa hadir mesyuarat. Kita tidak mahu cerita dulu ini berlaku lagi. Kalau boleh elaun itu bersifat mengikut kehadiran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Ahmed Razman juga mencadangkan agar larangan lantikan ahli politik aktif dalam mana-mana entiti kerajaan dilaksanakan dengan lebih tegas.
"Kementerian Kewangan pada tahun 2022 telah melancarkan Prinsip Tabir Urus Yang Baik Bagi Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (PGG). Suruhanjaya Sekuriti (SC) juga ada melancarkan kemaskini Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) pada tahun 2021 dan Kod Pelabur Institusi Malaysia (MCII) 2022.
“Ketiga-tiga garis panduan ini menjelaskan bahawa tidak digalakkan untuk melantik ahli politik yang aktif sebagai ahli lembaga pengarah,” jelasnya.
Sementara itu, Felo Bersekutu Kanan, Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Irwan Shah Zainal Abidin mencadangkan, Indeks Prestasi Utama (KPI) syarikat-syarikat berkenaan ditetapkan dengan mengambil kira aspek manusiawi.
“Dari segi kecekapan, contohnya, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Adakah apabila kita mahu ia bertambah baik, bermakna kita mahu ada peningkatan pendapatan melalui kadar pembayaran balik pinjaman?
“Kita juga perlu lihat dari perspektif pembayar pinjaman itu. Bagaimana keadaan dan pendapatan pelajar? Perkara itu juga perlu dilihat walaupun dalam keadaan PTPTN tidak dapat menambahbaik penyata kewangan. Kita juga perlu lihat dari segi kebajikan peminjam,” katanya.
LKAN 1/2025 dibentangkan di parlimen pada Isnin, yang antara lain menyentuh mengenai PTPTN.
Laporan itu menyebut mengenai keperluan mengkaji semula mekanisme kutipan bayaran balik pinjaman pendidikan dan meningkatkan pemantauan terhadap pengurusan pinjaman pendidikan.
Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, sehingga 31 Dis 2023, tunggakan bayaran balik pinjaman pendidikan PTPTN adalah berjumlah RM10.853 bilion melibatkan 1.20 juta peminjam.
Agenda AWANI: Tumpuan laporan Ketua Audit Negara
#Kementerian Kewangan #Ketua Audit Negara #Laporan Ketua Audit Negara #PTPTN
;