Liwat rakan sel: Mahkamah Rayuan kekal hukuman 15 tahun, sebatan

Bernama
September 5, 2024 17:07 MYT
Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara 15 tahun dan empat sebatan rotan yang dikenakan terhadap seorang banduan yang disabitkan atas kesalahan meliwat rakan selnya di Penjara Sungai Buloh pada tahun 2018. -Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini mengekalkan hukuman penjara 15 tahun dan empat sebatan rotan yang dikenakan terhadap seorang banduan yang disabitkan atas kesalahan meliwat rakan selnya di Penjara Sungai Buloh pada tahun 2018.

Ringkasan AI
  • Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara 15 tahun dan empat sebatan rotan terhadap S. Kalidas yang disabitkan atas kesalahan meliwat rakan selnya di Penjara Sungai Buloh pada tahun 2018.
  • Panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Azman Abdullah, dan Datuk Azmi Ariffin menolak rayuan Kalidas terhadap sabitan dan hukuman tersebut.
  • Hakim Azmi menyatakan bahawa hukuman berat adalah perlu untuk kes jenayah seksual seperti ini bagi melindungi masyarakat dan mengekang nafsu seks liar yang tidak terkawal.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Azman Abdullah, and Datuk Azmi Ariffin menolak rayuan S. Kalidas, 37, terhadap sabitan dan hukuman penjara tersebut.
Kalidas diperintahkan menjalani hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 28 November 2018.
Hakim Azmi dalam penghakimannya bertarikh 4 Sept yang dimuat naik di laman web kehakiman berkata hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Sesyen telah membuat pertimbangan yang menyeluruh, adil dan saksama sebelum menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Kalidas.
"Sudah terang lagi bersuluh tiada alasan untuk kami mencampuri, mengusik atau mengganggu hukuman setimpal tersebut," kata beliau.
Beliau juga berkata mahkamah seharusnya mengenakan hukuman yang berat bagi kes liwat seperti ini kerana kes jenayah seksual membimbangkan dan menjadi ancaman kepada masyarakat umum.
Hakim Azmi berkata adalah menjadi harapan mahkamah agar hukuman berat yang dijatuhkan dapat mengekang nafsu seks liar manusia yang tidak terkawal seperti dalam kes ini daripada berterusan.
Menurut pertuduhan, Kalidas telah dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap rakan selnya berusia 21 tahun di blok Damai, Penjara Sungai Buloh pada pukul 12.30 pagi, 12 Oktober 2018.
Kalidas dan mangsa ditahan reman di penjara atas kesalahan dadah.
Pada 5 Ogos, 2021, Mahkamah Sesyen mendapati Kalidas bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun serta empat sebatan rotan.
Mahkamah Tinggi, pada 25 Julai 2022, menolak rayuan Kalidas dan mengekalkan sabitan dan hukuman tersebut.
-- BERNAMA
#Mahkamah Rayuan #liwat rakan sel #S Kalidas #Penjara Sungai Buloh