Liwat rakan banduan di pusat pemulihan akhlak, tiga lelaki dipenjara lima tahun
Muhafandi Muhamad
Jun 1, 2023 17:41 MYT
Jun 1, 2023 17:41 MYT
KOTA BHARU: Tiga banduan masing-masing dipenjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini atas pertuduhan meliwat rakannya di sebuah bilik di Pusat Pemulihan Akhlak Machang, Februari lalu.
Tertuduh, Muhammad Tarmizi Mohd Sandy, 25, Wan Zulharie Wan Mustapha, 32, dan Mohamad Ariff Emeran, 31, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.
Mengikut pertuduhan yang dibuat secara berasingan, ketiga-tiga tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dengan mangsa yang berusia 26 tahun.
Kesalahan itu dilakukan kesemua tertuduh di sebuah bilik di Blok Amanah Pusat Pemulihan Akhlak Machang.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry dan kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap ketiga-tiga tertuduh masing-masing lima tahun penjara dari tarikh dituduh hari ini dan satu sebatan memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah serius.
Untuk rekod, kesemua tertuduh sebelum ini menjalani hukuman berkaitan kes dadah.