Liwat II: Saiful lega 'kesilapan' bapanya terhadap Anwar

Teoh El Sen
Mei 1, 2013 11:58 MYT
Bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Saiful Bukhari Azlan hari ini meluahkan rasa syukur di atas kenyataan bapanya yang mengakui ‘kesilapannya’ memohon maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kes liwat yang dihadapinya.
Dalam mesej Twitternya hari ini, Saiful berkata: “Berkat Doa, Sabar dan Istiqamah. Jika bapa jujur dan ikhlas, syukur Alhamdulillah. Yang HAK pasti BERDIRI, janji Allah pasti.”

Berkat Doa, Sabar dan Istiqamah. Jika bapa jujur dan ikhlas, syukur Alhamdulillah. Yang HAK pasti BERDIRI, janji Allah pasti.

— Saiful Bukhari Azlan (@SaifulBukhari) May 1, 2013
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Peguam Saiful, Zamri Idrus ketika dihubungi Astro Awani berkata anak guamnya itu telah melahirkan rasa lega kerana bapanya telah sedar dari kesilapan kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini.
Dalam satu sidang media petang tadi, bapa Saiful, Azlan Mohd Lazim telah membuat kejutan dengan menarik balik kenyataan maafnya terhadap Anwar yang dibuat pada 8 Mac lalu.
Azlan sebaliknya telah menukar pendirian dengan mengatakan kes liwat terhadap anaknya itu adalah benar-benar berlaku.
Azlan, 60, mengatakan bahawa dia telah dipengaruhi oleh ‘pihak tertentu’ untuk memohon maaf kepada Anwar.
“Hari ini saya menarik balik permohonan maaf saya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tegas menyatakan bahawa kes liwat anak saya adalah benar. Ia bukan konspirasi,” katanya dalam sidang media itu.
Dia juga telah mengumumkan keluar dari PKR.
Pada 8 Mac, Azlan telah mendakwa bahawa tuduhan liwat terhadap Anwar merupakan satu ‘konspirasi jahat’ yang dirancang pihak-pihak tertentu dari kerajaan bertujuan menjatuhkan imej ketua pembangkang itu.
Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Johari Abdul dalam satu kenyataan hari ini berkata dia tidak terkejut dengan tindakan terbaru dari Azlan itu.
Johari juga menyalahkan Umno dalam hal ini, serta menegaskan bahawa Azlan tidak pernah menyertai PKR.
Muat turun aplikasi Astro AWANI untuk iPhone/iPad di sini
#Anwar Ibrahim #azlan mohd lazim #Mohd Saiful Bukhari Azlan #PKR #Tweet #Zamri Idrus