Liwat II: Penyokong timbulkan kekecohan, cuba rempuh pagar

Syafique Shuib
November 4, 2014 15:50 MYT
Prosiding rayuan kes liwat Anwar Ibrahim masuk hari keenam pada Selasa - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Suasana di perkarangan Mahkamah Persekutuan yang menyaksikan prosiding kes rayuan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedikit tegang hari ini apabila timbul beberapa kekecohan di kalangan penyokongnya.
Antaranya insiden cubaan seorang lelaki dipercayai penyokong Anwar untuk merempuh pagar utama Istana Kehakiman, Putrajaya pada jam 3.30 petang tadi, namun dia berjaya melarikan diri.
Bagaimanapun suasana terkawal dan kembali tenang tanpa sebarang tindakan provokosi selepas beberapa penyokong menyeru agar tiada yang melanggar halangan polis.
Anggota polis melakukan sekatan untuk menghalang para penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada memasuki perkarangan Istana Kehakiman - Foto Bernama
Satu lagi insiden berlaku sekitar jam 1.35 petang apabila seorang lelaki yang memegang sebatang kayu cuba bertindak kasar dengan mendesak pihak polis membuka pagar dan mencabar polis menembak dirinya.
Suasana bagaimanapun kembali tenang selepas polis mengarahkan lelaki terbabit beredar selain turut ditenangkan oleh para penyokong.
Sementara itu, tinjauan Bernama juga mendapati sebuah helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) berlegar-legar melakukan tinjauan dari ruang udara di sekitar bangunan Istana Kehakiman di sini.
Jurucakap polis memberitahu hanya sebuah helikopter sahaja bertugas menjalankan tinjauan dari udara sejak 12 tengah hari tadi.
Hari ini, pihak pendakwaan diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah meneruskan hujah balas terhadap alasan rayuan pembelaan, diketuai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram, berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar, 67, bagi kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 27.
#Anwar Ibrahim #liwat #Mahkamah Persekutuan #Putrajaya #Saiful
;