Litigasi ESG dijangka terus meningkat - Tun Maimun

Astro Awani
Jun 19, 2024 18:00 MYT
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika berucap di Persidangan Kebangsaan ESG 2024, “The Ethico-Legal Landscape, Impact & Opportunities” di Bangsar di ibu negara pada Rabu. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Litigasi berkaitan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dijangka akan terus meningkat pada tahun mendatang.

Ringkasan AI
  • Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, menyatakan bahawa litigasi ESG dijangka meningkat dan Mahkamah akan memainkan peranan penting dalam menegakkan kemandirian kehakiman dan pemerintahan undang-undang berkaitan isu ESG.
  • Mahkamah juga akan mempertimbangkan kebolehgunaan undang-undang ESG asing di Malaysia.
  • Keputusan kehakiman dalam kes ESG boleh menetapkan duluan undang-undang yang membentuk perlindungan alam sekitar, tanggungjawab sosial korporat dan tadbir urus etika.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memaklumkan Mahkamah di negara ini akan diberi tugas untuk menyelesaikan pelbagai pertikaian, termasuk kes-kes yang melibatkan kerosakan alam sekitar, pelanggaran hak asasi termasuk hak buruh, aktivisme pemegang saham dan kegagalan dalam tadbir urus korporat.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Persidangan Kebangsaan ESG 2024, “The Ethico-Legal Landscape, Impact & Opportunities” di Bangsar di ibu negara pada Rabu.
"Berdepan dengan trend ini, Mahkamah akan memainkan peranan penting dalam membentuk landskap undang-undang dengan menegakkan kemandirian kehakiman, pemisahan kuasa, dan pemerintahan undang-undang, berkaitan dengan isu-isu ESG.
"Mahkamah juga perlu mempertimbangkan isu kebolehgunaan undang-undang ESG asing dalam bidang kuasa Malaysia kerana terdapat anak syarikat Malaysia dari syarikat asing yang perlu mematuhi undang-undang syarikat asing induk mereka, undang-undang negara lain yang terpakai apabila syarikat Malaysia ingin mengeksport ke negara tersebut dan undang-undang tanggungjawab rantaian bekalan," katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan peranan Mahkamah meluas bukan sahaja kepada menegakkan akauntabiliti syarikat atas kesalahan atau kelalaian berkaitan ESG, malah berperanan sebagai semakan penting terhadap tindakan kerajaan untuk memastikan sentiasa selaras dengan standard ESG dan menegakkan prinsip undang-undang.
"Dalam hal ini, peranan Badan Kehakiman melangkaui sekadar mengadakan badan korporat bertanggungjawab atas salah laku atau kecuaian yang berkaitan dengan ESG.
"Keputusan kehakiman dalam kes berkaitan ESG boleh menetapkan duluan undang-undang penting yang membentuk tafsiran dan amalan undang-undang masa depan. Keputusan penting boleh mewujudkan piawaian untuk perlindungan alam sekitar, tanggungjawab sosial korporat dan tadbir urus etika, mempengaruhi tingkah laku di seluruh industri dan sektor," katanya lagi.
#Ketua Hakim Negara #Tengku Maimun Tuan Mat #ESG #persidangan kebangsaan ESG 2024
;