Literasi digital: MCMC anjur program etika penggunaan media sosial

Bernama
Julai 2, 2024 22:00 MYT
Pengarah Seksyen Pembangunan MCMC Negeri Pahang, Haznita Mohamad Lazim memberi penerangan kepada peserta pada Taklimat Etika Penggunaan Media Sosial bersama penuntut Widad University College anjuran MCMC. - Foto BERNAMA
KUANTAN: Peratusan penggunaan media sosial yang meningkat setiap tahun menuntut pemahaman etika penggunaannya bagi melahirkan pengguna digital yang bertanggungjawab.
Kajian oleh Kajidata pada Julai 2023 menunjukkan 71 peratus rakyat Malaysia menggunakan aplikasi WhatsApp setiap hari sepanjang minggu, diikuti Facebook (51 peratus), TikTok (49 peratus), Instagram (45 peratus) dan X pada kadar 30 peratus.
Menyedari kepentingan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) komited untuk meningkatkan literasi digital dengan memberi penekanan terhadap penggunaan media sosial sebagaimana dikongsikan dalam taklimat bersama penuntut Widad University College di sini baru-baru ini.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Widad University College Prof Madya Muslina Md Muis berkata taklimat Etika Penggunaan Media Sosial di bawah Program Klik Dengan Bijak itu dilihat berupaya meningkatkan kesedaran pengguna media sosial khususnya dalam kalangan belia untuk lebih cakna dan tidak menyalahgunakan platform tersebut.
"Ramai pelajar tidak sedar, sikap mereka dalam menggunakan media sosial turut akan menjadi perhatian dan penilaian majikan untuk diterima bekerja atau sebaliknya.
"Oleh itu mereka perlu faham sebaiknya literasi penggunaan media sosial supaya lebih beretika, sopan dan tidak mengikut emosi hingga mungkin menimbulkan isu atau kesan tidak sewajarnya di kemudian hari," katanya kepada Bernama.
Beliau menjelaskan taklimat berkenaan yang turut menyentuh impak perkongsian jelik, penyebaran maklumat palsu serta memberi komen tidak sewajarnya di media sosial, diharap dapat meningkatkan kesedaran pengguna digital supaya lebih sensitif dan tidak terjebak dengan aktiviti yang melanggar undang-undang.
Dalam pada itu, pelajar jurusan Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan (MBBS) Widad University College Ar Razi Ryoshi, 21, berkata taklimat tersebut memberi perspektif kepadanya tentang kepentingan menjadi pengguna yang bijak dan mengelak daripada menyebarkan kandungan media sosial yang merugikan.
"Dulu saya pandang remeh kesan penyalahgunaan media sosial tetapi selepas menghadiri taklimat ini baru tahu banyak kesalahan yang melibatkan media sosial yang tidak pernah terlintas dalam fikiran.
"Misalnya sebelum ini saya tidak mengetahui penyebaran maklumat yang tidak tahu kesahihan sumbernya, sebenarnya berisiko menjadi berita palsu dan boleh disabitkan sebagai kesalahan undang-undang," katanya.
Bagi Jacqueline Ayunie Jepili, 26, yang juga pelajar Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan (MBBS), taklimat berkenaan mengajarnya untuk memastikan maklumat yang diterima adalah daripada saluran yang betul dan sahih.
"Sebagai pelajar perubatan, kami memang mendapat pelbagai maklumat daripada pelbagai bahan bacaan termasuk yang dikongsi di media sosial.
"Selepas mendengar taklimat ini, saya mula sedar betapa penting untuk kita memastikan bahan yang kita baca itu adalah betul kerana ada ketikanya kita begitu mudah teruja sebaik melihat pautan tertentu tanpa ingin memeriksa sama ada ia betul atau sebaliknya," katanya.
-- BERNAMA
#literasi digital #program etika penggunaan media sosial #MCMC #pengguna digital bertanggungjawab
;