Litar pintas dipercayai punca rumah kedai terbakar, remaja maut, wanita patah kaki

Abd Razak Mohd Ali
Februari 5, 2021 11:39 MYT
Kebakaran memusnahkan 95 peratus rumah dan kesemua peralatan perabut dan perkakasan eletrik dalam rumah. - Gambar JBPM Perak
PARIT BUNTAR: Litar pintas dipercayai kemungkinan punca kebakaran rumah kedai di Jalan Pantai Kuala Kurau, di sini awal pagi ini yang menyebabkan seorang remaja perempuan maut dan seorang wanita patah kaki.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat bagaimanapun berkata, siasatan lanjut masih dijalankan pihak forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak.
Menurut beliau, kebakaran itu hanya melibatkan sebuah rumah dua tingkat yang dipercayai bermula dari tingkat bawah.
“Kebakaran memusnahkan 95 peratus rumah dan kesemua peralatan perabut dan perkakasan eletrik dalam rumah,” katanya dalam satu kenyataan.
BACA: Remaja maut, wanita patah kaki dalam kebakaran rumah kedai
Dalam kebakaran itu, seorang remaja perempuan, Leng Li Zhee, 13, yang melecur seluruh badan maut dalam perjalanan ke Hospital Parit Buntar manakala seorang wanita patah kaki kiri semasa terjun menyelamatkan diri.
Maklumat lanjut mengenai wanita berkenaan masih belum diperoleh.
Mazuki berkata, melalui temu bual dengan pemilik rumah, Leng Pei Yee, 28, dia terdengar bunyi letupan yang kuat beberapa kali sekitar pukul 12.45 tengah malam ketika tidur.
Lelaki itu, kata Mazuki, kemudian nampak asap yang banyak lalu menjerit memberitahu seluruh ahli keluarganya dan bergegas keluar melalui tingkap dengan bantuan orang ramai dan pihak bomba.
Menurutnya, terdapat lapan orang kesemuanya yang menghuni kediaman itu yang terdiri daripada tiga perempuan dewasa, tiga kanak-kanak perempuan dan dua bayi berusia dua bulan dan 18 bulan.
Proses bedah siasat ke atas mayat remaja perempuan akan dijalankan hari ini.
#remaja maut #wanita patah kaki #kebakaran #Jalan Pantai Kuala Kurau #parit buntar #Perak #bomba #JBPM
;