Litar pintas di Hospital Raja Permaisuri Bainun insiden terpencil
Bernama
November 10, 2016 07:30 MYT
November 10, 2016 07:30 MYT
Insiden percikan api di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, sehingga menimbulkan keadaan panik dan pemindahan pesakit awal Khamis adalah insiden terpencil, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kekerapan kejadian litar pintas di hospital-hospital awam selepas kejadian yang sama di Hospital Sultanah Aminah (HSA) bulan lepas yang meragut enam nyawa.
Kejadian litar pintas pada hari berikutnya mengakibatkan tiga kakitangan HSA cedera.
Kebakaran di Unit Rawatan Intensif HSA berlaku pada 25 Okt dan kebakaran kecil di dewan bedah hospital itu dilaporkan pada hari berikutnya.
"Ia adalah insiden terpencil. Ia berlaku di tempat-tempat yang berbeza jadi ia tiada kaitan di antara satu dengan yang lain. Bagaimanapun, kami menjalankan audit di semua hospital," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen pada Khamis.
Menurut beliau terdapat banyak sistem di dalam hospital, termasuk pemantauan, mengenal pasti risiko dan langkah pengesahan dan ratifikasi.
"Malangnya, ada sesuatu yang tertinggal dan itulah yang perlu kita kenal pasti melalui dua langkah yang sedang dijalankan.
Satu, adalah sebuah suruhanjaya khas yang akan melihat kepada proses yang lengkap tidak terhad kepada HSA tetapi semua hospital.
Yang kedua, adalah audit yang akan dijalankan di seluruh hospital untuk mengenal pasti sebarang ancaman dan mewujudkan program untuk menyelesaikan ancaman itu," katanya.
Awal pagi tadi, wad 5B di HRPB terpaksa dikosongkan dan 43 pesakit dipindahkan ke beberapa wad berdekatan berikutan percikan api akibat litar pintas pada palam pencucuh katil.- BERNAMA