Litar kawalan kuasa putus punca gangguan LRT

Bernama
Oktober 19, 2020 16:06 MYT
Menurut Prasarana, bekalan kuasa yang terputus seawal 4 pagi kembali pulih pada 8.33 pagi, dan perkhidmatan kembali normal pada jam 8.44 pagi.
KUALA LUMPUR: Gangguan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang melibatkan Stesen Ampang ke Stesen Cahaya berpunca daripada litar kawalan kuasa yang terputus, sekali gus menghalang bekalan kuasa utama yang diperlukan untuk menggerakkan tren.
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam kenyataan hari ini bagaimanapun memaklumkan bekalan kuasa yang terputus seawal 4 pagi kembali pulih pada 8.33 pagi, dan perkhidmatan kembali normal pada jam 8.44 pagi.
"Sepanjang gangguan perkhidmatan, kakitangan Rapid KL mengawal pergerakan dan membantu penumpang untuk mengelak kesesakan di platform dan stesen. Selain itu, pengumuman berterusan turut dibuat di dalam tren dan stesen," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu memaklumkan bahawa sebanyak empat bas perantara percuma disediakan bagi membawa penumpang dari Stesen Ampang ke Stesen Cahaya dan sebaliknya pada 7.15 pagi, bagi mengatasi situasi tersebut.
"Daripada Stesen Cahaya, penumpang boleh meneruskan perjalanan ke pusat bandar atau destinasi mereka dengan menggunakan perkhidmatan "shuttle train" dari Stesen Cahaya ke Stesen Chan Sow Lin," katanya.
Menurut kenyataan itu penumpang terjejas telah ditawarkan kupon bayaran balik, yang boleh dituntut di semua kaunter LRT Laluan Ampang/ Sri Petaling.
"Rapid KL kesal dengan insiden itu dan memohon maaf atas kesulitan yang telah berlaku," katanya.
-- BERNAMA
#Ampang #prasarana #LRT #Transit Aliran Ringan #Stesen Ampang #Stesen Cahaya #litar kawalan kuasa terputus #Rapid KL
;