Liputan internet: Mereka ini tidak lagi perlu daki bukit, panjat pokok
Vivi Sumanti
Disember 22, 2020 15:57 MYT
Disember 22, 2020 15:57 MYT
TANAH MERAH: Kisah dua beradik yang sebelum ini mendapat liputan kerana terpaksa mendaki bukit dan memanjat pokok setiap hari untuk mendapatkan akses Internet bagi mengikuti kelas pengajian dan menjawab peperiksaan secara dalam talian, tidak lagi perlu berbuat demikian.
Norlida Khalida Mohd Azmi, penuntut Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur dan adiknya, Mohd Amin Khalili yang belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Bukit Besi dekat sini, kini boleh mengikuti kelas pengajian secara dalam talian di rumah mereka.
Ini selepas salah sebuah syarikat telekomunikasi (telco) membina menara pemancar kira-kira 800 meter dari rumahnya di kampung Bukit Petai Tujuh, Jerangau, Tanah Merah.
Pembinaan menara pemancar itu dimulai awal bulan ini dan siap hampir seminggu yang lalu.
Ayah mereka Mohd Azmi Ahmad, 48 tahun ketika dihubungi Astro AWANI memanjatkan rasa syukur kerana pihak kerajaan dan juga syarikat telekomunikasi mengambi tindakan cepat untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh lebih 300 penduduk sekitar Bukit Petai sejak puluhan tahun lamanya.
"Alhamdulillah, internet laju sekarang, duduk dalam rumah pun anak-anak boleh akses, boleh belajar dengan selesa, tak perlu lagi panjat pokok dan daki bukit, berdepan dengan pacat dan serangga," katanya kepada Astro AWANI.
"Selepas media termasuk Astro AWANI datang menghebohkan masalah kami dan keadaan anak-anak yang terpaksa mendaki bukit dan memanjat pokok, pelbagai pihak termasuk wakil syarikat telekomunikasi datang ke rumah kami," katanya.
"Alhamdulillah, pemancar sudah ada di kampung kami, internet dah laju, terima kasih pihak media dan juga pihak syarikat telekomunikasi," ujarnya.
Sebelum ini Astro AWANI pada 29 November lepas melaporkan kisah mereka yang terpaksa memanjat pokok dan mendaki bukit untuk mengikuti kelas pengajian secara dalam talian kerana akses internet yang lemah di kampung mereka.
Anaknya Norlida berkata dia perlu belajar dan menjawab kertas peperiksaan di bawah khemah sementara didirikan oleh ayahnya manakala adiknya Mohd Amin pula terpaksa berada di atas pangkin yang dibina di atas pokok bagi mendapatkan akses internet.
Mereka antara penuntut pusat pengajian tinggi yang mengikuti pengajian dari rumah selepas pusat pengajian mereka ditutup kerana Perintah Kawalan Pergerakkan PKP Bersyarat.
#Tanah Merah
#Internet
#panjat pokok
#menara pemancar
#syarikat telekomunikasi
#Norlida Khalida Mohd Azmi
#Mohd Amin Khalili