Liputan internet: Inisiatif Pakej Perpaduan kini dijenamakan sebagai Pakej Rahmah
Astro Awani
Julai 28, 2023 12:00 MYT
Julai 28, 2023 12:00 MYT
KUALA LUMPUR : Inisiatif Pakej Perpaduan yang dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital dijenamakan sebagai Pakej Rahmah bermula hari ini.
Menterinya, Fahmi Fadzil menjelaskan, ini termasuk pelaksanaan dengan kerjasama penyedia-penyedia perkhidmatan telekomunikasi melalui Pakej Perpaduan Internet Mudah Alih (Prabayar) dan Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap (Home Internet) serta Pakej Perpaduan Projek Perumahan Rakyat (PPR)/ Perumahan Awam (PA) @MyKabel.
"Bermula hari ini, Inisiatif Pakej Perpaduan dijenamakan sebagai Pakej Rahmah. Perubahan tersebut selaras dengan keputusan jemaah menteri pada 25 Julai 2023 supaya “Rahmah” dijenamakan sebagai inisiatif nasional kepada kumpulan sasar B40.
"Bagi Inisiatif Pakej Rahmah, kumpulan sasar turut meliputi golongan belia, Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pesara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR)/ Perumahan Awam (PA)," jelasnya.
Beliau yakin pakej jalur lebar tetap yang jauh lebih murah berbanding pakej biasa bukan sahaja bersifat lebih ihsan kepada golongan sasar, malah mampu membina negara yang lebih mampan serta membentuk rakyat lebih inovatif dan berdaya cipta bagi menjamin kesejahteraan melalui ekonomi digital.
"Inisiatif Pakej Rahmah diteruskan oleh KKD kali ini dengan kerjasama pihak Allo Technology yang menawarkan perkhidmatan Internet Jalur Lebar Tetap (Home Internet).
"Menerusi pakej ini, rakyat Malaysia yang layak akan dapat menikmati akses Internet Jalur Lebar Tetap dengan kelajuan 100 Mbps berserta harga yang lebih murah berbanding pakej semasa di pasaran.
"Dengan liputan Allo yang bertumpu kepada kawasan pinggir dan luar bandar iaitu di negeri Kedah, Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor serta Cyberjaya, inisiatif ini mampu memberi impak yang besar dalam usaha merapatkan jurang digital," katanya dalam ucapan Majlis Pelancaran Pakej Rahmah Jalur Lebar Tetap (Home Internet) Allo di Pusat Konvensyen Leo Moggie TNB Platinum Bangsar, di ibu negara pada Jumaat.
Selain kelajuan sehingga 100 Mbps, Pakej Rahmah Allo juga menawarkan perkhidmatan internet dengan data tanpa had (unlimited data) untuk kontrak langganan selama 24 bulan pada harga hanya RM69.00, iaitu penjimatan sebanyak RM30 sebulan berbanding pakej semasa yang ditawarkan oleh Allo iaitu RM99.00.
Ujarnya, inisiatif Pakej Rahmah ini merupakan bukti bahawa keperluan dan kebajikan rakyat untuk menikmati perkhidmatan Internet dengan harga lebih murah dan mampu milik, diberi perhatian serius oleh kerajaan perpaduan dan syarikat penyedia perkhidmatan.