Liputan 5G di Sarawak capai 63.8 peratus kawasan berpenduduk - Pengurus Besar SMA

Bernama
Februari 7, 2025 22:25 MYT
SMA akan terus melaksanakan beberapa Rangkaian Luar Bandar Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi dan 11 kawasan di Sarawak telah dikenal pasti untuk pelaksanaan inisiatif itu.
KUCHING: Liputan 5G di kawasan berpenduduk di Sarawak telah mencapai 63.8 peratus manakala liputan 4G pada 84.8 peratus, setakat suku keempat tahun lepas.
Pengurus Besar Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA) Datuk Anderson Tiong Ing Heng berkata, tahun lepas juga menyaksikan SMA memperkukuh keselamatan siber untuk agensi kerajaan negeri menerusi Program CyberSarawak.
"SMA dalam proses melaksanakan pengurusan tadbir urus data merentasi agensi kerajaan.
"Kami juga telah berjaya menganjurkan beberapa bengkel untuk berkongsi pandangan tentang kepentingan dan keberkesanan tadbir urus data," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Lunar SMA 2025 yang turut dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini, malam ini.
Tiong juga merakamkan penghargaan kepada Digital Nasional Berhad (DNB) kerana menyediakan infrastruktur 5G di Sarawak serta syarikat telekomunikasi yang telah bekerjasama dengan SMA untuk menyediakan rangkaian telekomunikasi penting di negeri itu.
Menurut Tiong, bagi tahun ini, SMA akan terus melaksanakan beberapa Rangkaian Luar Bandar Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi dan 11 kawasan di Sarawak telah dikenal pasti untuk pelaksanaan inisiatif itu.
"Ini akan melibatkan pemasangan kira-kira 1,000 kilometer gentian optik (dan) vital untuk mempertingkatkan infrastruktur telekomunikasi kami dan menambah baik kesalinghubungan di kawasan yang kurang liputan perkhidmatan," katanya.
Memandangkan Sarawak menyasarkan untuk meneroka industri aeroangkasa, beliau berkata SMA bersama-sama Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi negeri kini sedang membangunkan Pelan Hala Tuju Industri Angkasa Lepas Sarawak.
"Pelan hala tuju itu menggariskan inisiatif strategik untuk menjadikan Sarawak sebagai peneraju serantau dalam teknologi angkasa, dengan penekanan khusus pada satelit dan pembuatan satelit, membangunkan fasiliti tapak pelancaran dan ekosistem angkasa lepas yang mampan," tambahnya.
-- BERNAMA
#liputan #5G #Sarawak #Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak #SMA
;