Lipis pula dilanda banjir kilat

Noraniza Kamsani
Januari 25, 2018 03:48 MYT
Keadaan salah sebuah rumah penduduk di Lipis yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara. - Gambar ihsan APM
Daerah Lipis menjadi daerah kedua di Pahang dilanda banjir kilat selepas Maran, menyebabkan 19 orang daripada enam keluarga di Kampung Ulu Atok dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kol (PA) Zainal Yusof berkata, kesemua mangsa dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Atok kira-kira jam 6 pagi tadi.
"Punca banjir adalah disebabkan oleh limpahan air sungai berikutan hujan lebat sejak dari malam tadi, bagaimanapun, keadaan air kini dalam trend menurun," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sementara itu, Zainal menambah, sehingga jam 10 pagi, terdapat seramai 126 mangsa daripada 27 keluarga masih ditempatkan di dua PPS di Maran akibat banjir kilat sejak semalam.
"Dua PPS berkenaan adalah di Kampung Baru Sungai Chedung iaitu seramai 112 orang daripada 23 keluarga dan Balai Raya Kampung Baru Jaya (14 orang, empat keluarga)," katanya.
#APM #banjir kilat #lipis #PPS #Pusat Pemindahan Sementara #Zainal Yusof