Lip Eng disaran hayati sejarah tulisan Jawi - Mujahid
Wan Syamsul Amly
Ogos 5, 2019 16:00 MYT
Ogos 5, 2019 16:00 MYT
Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng disaran menghayati sejarah serta penggunaan tulisan Jawi di negara ini terutama melibatkan urusan Raja-raja Melayu sendiri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, tulisan Jawi merupakan alat komunikasi pada zaman dahulu termasuk kepada pemerintah asing.
"Saya tidak tengok Twitter itu, tetapi apa yang saya faham isu Jawi perlu dilihat sebagai warisan sejarah. Kalau kita tengok, mungkin kita boleh jemput Ahli Parlimen tersebut ziarah Pameran Raja kita, di mana seluruh komunikasi pada waktu itu, malah pengisytiharan, hubungan untuk ucap tahniah kepada Queen Elizabeth semua ditulis dalam bahasa Jawi yang cukup indah," katanya semasa sidang media selepas pelancaran Pameran Raja Kita di sini, pada Isnin.
Mujahid mengulas tindakan Lip Eng sebelum ini yang memuat naik status penghinaan ke dalam laman media sosial miliknya mengenai pembelajaran khat atau tulisan Jawi yang diibaratkan seperti menyapu najis lembu ke muka sendiri.
Bagaimanapun selepas mendapat kecaman netizen, Lip Eng memadam sepenuhnya hantaran tersebut.
Dalam pada itu Mujahid menjelaskan tidak faham dengan isu tulisan Jawi yang dilihat sesetengah pihak bermasalah kerana ia melibatkan sejarah selain semua urusan dahulu ditulis dengan tulisan berkenaan.
Katanya, isu itu perlu dilihat dalam kerangka besar selain menghargainya sebagai teras komunikasi yang digunakan sebelum ini.
Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata, pihaknya sedia mempertimbangkan keperluan memperkenal kaligrafi lain selain tulisan jawi dalam kurikulum sekolah di negara ini.
Jelasnya, perkara itu boleh dibincangkan secara terperinci memandangkan negara terdiri daripada pelbagai kaum yang memiliki identiti kesenian masing-masing.
#JAWI
#Kementerian Pendidikan
#kesenian
#khat
#kurikulum
#media sosial
#Melayu
#Queen Elizabeth
#Raja Kita
#universiti