Lingkaran nyamuk tidak berdaftar dijual berleluasa di negeri-negeri utara Semenanjung
Bernama
Januari 28, 2015 15:40 MYT
Januari 28, 2015 15:40 MYT
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui Jabatan Pertanian Malaysia mengingatkan orang ramai mengenai penjualan lingkaran nyamuk tidak berdaftar yang berleluasa di premis-premis perniagaan runcit di negeri-negeri utara semenanjung Malaysia terutama Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.
Penggunaan lingkaran nyamuk tanpa tidak berdaftar itu dikhuatiri membawa risiko kepada pengguna kerana keberkesanan dan kesesuaian penggunaan serta kesan sampingannya tidak diketahui berikutan ia tidak dinilai dan diluluskan.
Berikut adalah kenyataan rasmi penuh daripada pihak Jabatan Pertanian Malaysia tersebut:
PENJUALAN LINGKARAN NYAMUK TIDAK BERDAFTAR DI BAWAH AKTA RACUN MAKHLUK PEROSAK 1974 DI NEGERI KEDAH, PERLIS DAN PULAU PINANG
Jabatan Pertanian mendapati berlaku penjualan lingkaran nyamuk tidak berdaftar yang berleluasa di premis-premis perniagaan runcit di negeri-negeri utara semenanjung Malaysia terutama Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.
Jabatan Pertanian mendapati terdapat tiga produk lingkaran nyamuk dari China dengan nama dagangan ZENDEN MICRO SMOKE (Z-D); TIAN HONG MOSQUITOES COIL; dan LENGEN MOCRO-SMOKE 12 HOURS (H.Y TOUBA) dijual secara terang-terangan.
Dalam pemeriksaan yang dijalankan sepanjang September hingga Disember 2014, Pasukan Penguatkuasa Jabatan Pertanian telah merampas sejumlah 11,547 kotak lingkaran nyamuk yang tidak berdaftar dengan nilai RM23,094.
Suka diingatkan bahawa penjualan lingkaran nyamuk tidak berdaftar adalah salah di bawah Seksyen 20(3) Akta Racun Makhluk Perosak 1974, manakala bagi mereka yang memiliki atau menggunakan lingkaran nyamuk tidak berdaftar adalah melakukan kesalahan dibawah seksyen 53A(1)(a) di bawah akta yang sama.
Pada masa ini telah terdapat banyak produk lingkaran nyamuk yang berdaftar di pasaran bagi tujuan menghalau atau membunuh nyamuk bagi kegunaan seisi rumah.
Semua produk lingkaran nyamuk yang berdaftar tersebut telah dinilai tahap keberkesanan sebelum diluluskan dan adalah selamat digunakan dengan mengikut cara penggunaan yang ditetapkan di dalam label.
Manakala bagi lingkaran nyamuk yang tidak berdaftar, keberkesanan dan kesesuaian penggunaan serta kesan sampingan ke atas penggunaannya adalah tidak diketahui kerana ia tidak dinilai dan diluluskan.
Justeru itu, Jabatan Pertanian amat kesal dengan sikap sesetengah peniaga yang menjual lingkaran nyamuk tidak berdaftar tanpa mengira kesan kepada pengguna dan melanggar undang-undang.
Jabatan Pertanian amat mengharapkan kerjasama daripada orang ramai dalam membanteras penjualan lingkaran nyamuk yang tidak berdaftar ini.
Sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang melibatkan racun makhluk perosak tidak berdaftar, sila laporkan kepada Jabatan Pertanian di alamat Bahagian Kawalan Racun Perosak, Tingkat 4-6, Wisma Tani, Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur, Faks 03-26917551 atau emel pro@doa.gov.my untuk tindakan selanjutnya.