Lindungi pusat urut, lima anggota polis direman

Hilal Azmi
September 8, 2018 15:41 MYT
Hasil maklumat dan risikan mendapati kesemua suspek telah meminta wang rasuah RM4,000 daripada pengusaha premis urut tersebut yang beroperasi secara haram. - Foto SPRM
Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini membenarkan lima pegawai dan anggota polis ditahan reman selama lima hari mulai hari ini bagi membantu siasatan berhubung aktiviti rasuah dengan melindungi kegiatan pusat urut di Nibong Tebal.
Perintah reman bermula hari itu dikeluarkan oleh Majistret, Nurul Ainna Ahmad terhadap lima pegawai dan anggota polis termasuk seorang berpangkat Asisten Superintendan, dua berpangkat Inspektor, seorang Sarjan dan seorang Lans Koperal yang berumur antara 28 hingga 45 tahun.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.
Suspek pertama ditahan di pusat urut berkenaan pada pukul 11.20 pagi semalam dan empat lagi ditahan di SPRM Cawangan Sungai Petani diantara pukul 6.30 petang hingga 7.00 petang selepas hadir memberi keterangan.
Menurut sumber, hasil maklumat dan risikan mendapati kesemua suspek telah meminta wang rasuah RM4,000 daripada pengusaha premis urut tersebut yang beroperasi secara haram.
#Mahkamah Majistret #Malaysia #rumah urut #SPRM
;