Lindungi premis haram: Penolong pegawai penguat kuasa direman 7 hari

Astro Awani
Ogos 13, 2020 09:42 MYT
Perintah tahanan reman terhadap lelaki ini dikenakan bermula hari ini sehingga 19 Ogos. - Foto SPRM
Seorang penolong pegawai penguat kuasa direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes disyaki menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan haram di Sungai Buloh, Selangor.
Perintah dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.
Reman dikenakan bermula hari ini sehingga 19 Ogos.
Difahamkan, lelaki yang berusia 38 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya kira-kira pukul 9.30 malam tadi selepas hadir memberi keterangan.
Semalam, lima individu termasuk empat penguat kuasa direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes yang sama.
BACA: Lindungi premis haram: Empat penguat kuasa MBSA direman tujuh hari
BACA: Hina PDRM, ATM: Asri Janggut akan dipanggil Bukit Aman
Kes melibatkan peniaga di Sungai Buloh menjadi hangat apabila baru-baru ini tular dua klip video yang mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi di Bandar Baru Sungai Buloh.
Pendedahan dibuat menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia dan dikongsi oleh akaun Mohd Asri Hamid, 42 tahun, juga dikenali sebagai Asri Janggut.
Susulan itu, SPRM melakukan siasatan terhadap dakwaan berkenaan dan mendapat kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, bagi menyiasat dakwaan itu.
#judi #lindungi premis haram #Mahkamah Majistret #MBSA #penguat kuasa #penolong pegawai penguat kuasa #perniagaan #Putrajaya #Rasuah #reman #siasatan #SPRM #Sungai Buloh
;